Memberhentikan Semua Gangguan Dan Pendakwaan Terhadap Barisan Alternatif
DAP berasa terperanjat dan prihatin terhadap penahanan Puan Hajjah Marina Yusof akibat daripada ucapannya mengenai Kejadian 13 Mei di suatu ceramah di Pulau Pinang sebelum pilihan raya umum. Beliau dituduh di bawah perkara 4, Akta Hasutan dan beliau akan dihadapkan ke mahkamah pada pagi Jumaat ini di Mahkamah Majistret, Bukit Mertajam.
Saya berpendapat bahawa penahanan Puan Hajjah Marina Yusuf memberi gambaran kepada rakyat Malaysia iaitu Barisan Nasional (BN) berbalas dendam terhadap Barisan Alternatif, berikutan perampasan Harakah selepas pilihan raya umum dan ancaman mengharamkan penerbitan dan penjualan Harakah.
Saya amat prihatin kerana tindakan-tindakan ini diambil apabila UMNO menghadapi masalah dalaman akibat daripada pilihan raya parti yang akan menjelang. Sejarah menunjukkan bahawa UMNO sentiasa mempersalahkan seseorang apabila mereka menghadapi masalah. Satu contoh ialah Operasi Lalang yang dilancarkan pada masa Tengku Razaleigh mencabar Dr. Mahathir bagi jawatan tertinggi dalam parti.
Tindakan-tindakan ini bertentangan dengan dasar demokrasi dan undang-undang di negara ini dan tentunya tidak baik bagi imej Malaysia. Ekonomi negara kita menghadapi risiko untuk bertumbuh dan memulih kerana perkembangan negatif ini tidak akan menggalakkan pelabur tempatan dan asing melabur di sini. Saya mengingatkan UMNO supaya menghormati prinsip-prinsip demokrasi dan mengutamakan kepentingan negara, serta memberhentikan semua gangguan dan pendakwaan terhadap pemimpin-pemimpin dalan parti pembangkang.
Kenyataan akhbar Setiausaha Publisiti DAP merangkap Pengerusi DAP Selangor, Ronnie Liu di Petaling Jaya pada 12 Januari 2000