BILIK DERMA DARAH BUKA MALAM

KUALA TERENGANU, 23 Dis - Tabung Darah Hospital Kuala Terengganu (HKT), yang kini kekurangan darah, membuka bilik derma darah pada waktu malam bagi membolehkan umat Islam menderma darah sepanjang Ramadan ini.

Pengarah HKT Dr.N.K.S Sathia Seelan berkata bilik itu dibuka setiap malam mulai pukul 9 hingga 11 malam sepanjang bulan puasa.

"Di sebelah siang sekarang, tidak ramai orang datang menderma terutamanya orang Islam kerana mungkin mereka berpuasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sathia berkata setiap hari, HKT menggunakan antara 25 dan 30 unit darah untuk kes-kes kecemasan, kemalangan atau pembedahan.

"Tabung darah sekarang mempunyai simpanan 204 unit," katanya.

Beliau berkata HKT bimbang jumlah itu akan berkurangan jika bekalan darah tidak bertambah.

Menurutnya HKT mengambil beberapa langkah termasuk menggerakkan unit tabung darah bergerak untuk mendapatkan sumbangan darah daripada badan-badan sukarela (NGO) pada bulan puasa ini.

Beliau berkata sepanjang bulan puasa ini, tabung darah menerima 243 unit darah berbanding 315 unit pada bulan puasa tahun lepas.

Sathia berkata dalam tempoh Januari hingga November tahun ini, seramai 5,669 orang telah menderma darah berbanding 5,904 orang pada tempoh yang sama tahun lepas.

HKT mungkin akan mendapat sumbangan darah daripada hospital negeri-negeri lain jika bekalan darah di negeri ini tidak mencukupi, katanya.