Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kerajaan balas dendam : PAS desak hentikan penangkapan

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh) : PAS kesal dan mendesak pimpinan kerajaan menghentikan tindakan penangkapan pemimpin parti-parti Barisan Alternatif (BA) yang disifatkan sebagai lebih bermotifkan politik daripada menegakkan keadilan undang-undang.

Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd. Nor ketika dihubungi di rumahnya di Alor Setar hari ini berkata, kerajaan sepatutnya lebih bersikap rasional dan demokratik, tetapi mereka nampak sengaja hendak membalas dendam kerana kekecewaan akibat kehilangan pengundi dalam pilihanraya umum lalu terutama sekali orang-orang Melayu.

"Pemimpin kerajaaan Umno/BN telah ketandusan idea dan moral, maka tindakan mereka ini adalah perancangan yang bermotifkan politik dengan menggunakan kuasa undang-undang tetapi semata-mata untuk mempertahankan kepentingan politik mereka lebih daripada soal keadilan.

"Apatah lagi memandangkan kepada kempen pemilihan pemimpin parti Umno dan sebelum ini kita telah mengikuti ramai pemimpin Umno di beberapa peringkat menggesa supaya tindakan diambil terhadap pemimpin pembangkang dan juga termasuk akhbar Harakah," katanya.

Katanya, tindakan itu juga untuk melemahkan pembangkang berikutan kekalahan Umno/BN dalam pilihanraya lepas.

Menurutnya, PAS menggesa pemimpin Umno memberhentikan tindakan tidak demokratik ini dan menyeru agar mereka menghadapi pembangkang dengan cara politik, bukan dengan menggunakan kuasa supaya rakyat dapat menilai dengan adil dan saksama.

"Apatah lagi dengan hasrat rakyat yang mengharapkan Harakah tidak akan menjadi mangsa hingga menjejaskan sumber maklumat, untuk dipertimbangkan oleh rakyat supaya mereka dapat membandingkan dengan maklumat daripada sumber kerajaan.

"Setakat ini memang tidak ada maklumat lain ataupun sumber kedua yang boleh diterima oleh rakyat bagi menilai sesuatu perkara. Jadi tindakan kerajaan ini sangat bercanggah dengan konsep demokrasi dan apatah lagi dalam era kemajuan tekonolgi maklumat dan pengaruh globalisasi," katanya.

Beliau juga berkata, PAS mendesak supaya tindakan kerajaan yang anti demokrasi ini bukan sahaja harus diberhentikan, malahan Dr. Mahathir perlu menunaikan janjinya bahawa selepas pilihanraya seluruh rakyat diseru bersatu padu untuk membangun dan memulihkan kemelut ekonomi dan politik negara.

"Tindakan anti demokrasi ini bukan sahaja akan merugikan negara kerana mencemarkan imej negara di luar negeri tetapi juga memperlihatkan tindakan autokratik yang akan menjejaskan keyakinan pihak pelabur dan juga sektor pelancongan," katanya.

Dato' Fadzil juga tidak menolak teori dan pandangan yang mengatakan tindakan penangkapan pemimpin pembangkang ini adalah semata-mata untuk mengabui mata rakyat terhadap pilihan raya terkotor dan kempen politik kerajaan yang penuh dengan pelbagai taktik tidak bermoral.

"Jika sekiranya penangkapan-penangkapan ini dilakukan sebelum pilihan raya, kemungkinan kerajaan akan kalah lebih teruk daripada keputusan dan kekalahan yang diterima sekarang.

"Bagaimanapun, pengangkapan-penangkapan ini juga adalah suatu tindakan hipokrit, tidak mengakui kesalahan pihak kerajaan sendiri, sebaliknya cuba meletakkan kesalahan di pihak lain pula sebagai mangsa kejahatan mereka," katanya.

Dipetik daripada HARAKAH DAILY


Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com