PM dera pemimpin Umno Kelantan
- Nik Aziz

 


Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat

KOTA BHARU: Menteri Besar menyifatkan Umno Kelantan kini sedang didera oleh Umno Pusat apabila tidak menyenaraikan seorang pun pemimpin Umno di negeri ini dalam jemaah kabinet kerajaan Malaysia sekarang.

"Saya nampak pemimpin Umno/BN di Kelantan didera oleh pemimpin Pusat. Bagaimanapun saya tidak nampak rakyat Kelantan yang terdera," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, masalah dera-mendera rakyat tidak timbul kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi yang menghormati keputusan rakyat.

"Kita terpaksa terimalah...kerana itu satu keputusan dari rakyat," katanya.

Menurutnya, setiap keputusan yang dicapai dalam pilihan raya adalah hak rakyat.

Beliau juga berkata, menjelang pilihan raya umum ke-10 lalu, Umno telah menggunakan habis-habisan segala jentera kerajaan termasuk radio dan televisyen.

Katanya, beliau juga difahamkan Umno berkempen menggunakan wang secara terang-terangan kepada rakyat semasa kempen pilihan raya umum lalu.

Menteri Besar juga mengulangi hasratnya untuk menemui Perdana Menteri pada suatu masa yang sesuai kelak bagi merundingkan segala projek pembangunan untuk rakyat.

Ditanya mengenai hubungan kerajaan negeri dengan Persekutuan beliau berkata, hubungan di antara Kelantan dan Pusat baik dan selesa.

"Alhamdulillah hubungan masih lagi dalam keadaan selesa walaupun sesekali ada ganguan...itu biasalah," kata beliau kepada wartawan di kediamannya di Pulau Melaka, Sabtu lalu.

Mengenai projek yang dijanjikan Umno sebelum pilihan raya dulu beliau berkata, setiap projek yang akan dilaksanakan untuk faedah rakyat wajar diteruskan.

"Setiap apa yang mereka janjikan untuk rakyat perlu teruskan. Kalau tidak ia akan menjadi bahan ketawa rakyat," katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga menasihatkan pemimpin Umno menggunakan saluran yang betul jika ingin melaksanakan projek untuk rakyat di negeri ini.

Contohnya, jambatan di Tedong dibuat tanpa melalui prosedur sepatutnya yang mesti membabitkan agensi seperti JKR, Pejabat Tanah dan Jajahan dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan bukannya permohonan terus diajukan kepada Exco.

Katanya, projek jambatan itu seperti kerja peribadi kerana cara permohonannya tidak mengikut kaedah biasa.

 

Dipetik daripada HARAKAH