Detik, majalah yang diterbitkan dua kali sebulan, telahpun tamat tempoh permit penerbitannya pada 31 November 1999. Dua bulan sebelum itu kami telah memohon untuk memperbaharui permitnya. Kami merasakan tiada halangan Kementerian Dalam Negeri untuk menyambung kebenaran menerbitkan majalah berkenaan. Ini kerana kami merasakan sepanjang setahun mengeluarkan Detik, kami sentiasa mematuhi peraturan dan etika kewartawanan.
Kami sentiasa memastikan setiap rencana dan analisis yang diterbitkan tidak memfitnah atau mereka-reka cerita yang tidak betul. Alhamdulillah dengan sokongan peminat, majalah Detik dapat meningkatkan edarannya setanding dengan majalah-majalah ternama yang lain. Justeru, kami bercadang untuk menerbitkannya tiga kali sebulan, selaras dengan permit yang dikeluarkan KDN, dengan mengurangkan sedikit harganya dan membuat pendekatan baru, yakni majalah berita.
Melihat perkembangan media massa negara ini, yang terikat dan terkongkong dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 1987), tanggungjawab kami untuk mempersembahkan satu kelainanan dalam industri majalah menjadi bertambah berat. Pembaca mahukan media yang lebih bertanggungjawab, berani, bebas, melaporkan yang terkini, membongkar kezaliman dan mendokong kebenaran.
Suasana media di negara ini agak menyedihkan. Kita masih terkongkong dan terkurung dengan pelbagai peraturan dan tradisi lapuk yang perlu diubah. Justeru kami mendokong slogan “suara reformasi rakyat”. Banyak perubahan yang mesti dilakukan dalam setiap aspek, termasuk dunia media. Namun, kami tidak mempunyai cukup kekuatan bagi membentuk dimensi baru yang diingini itu. Dengan tenaga yang cukup terhad, kami cuba menterjemahkan idealisme itu dalam dunia praktik.
Malangnya, kami mendapat teguran awal daripada KDN pada 23 Oktober 1999. Menurut KDN, rencana yang disiarkan dalam majalah Detik telah terpesong daripada skop asal permohonannya, “ di mana penyiaran rencana-rencana yang berunsurkan politik lebih banyak disiarkan berbanding rencana yang menyentuh ekonomi, sosial dan pendidikan.”
Dalam surat amaran itu, KDN merumuskan rencana politik disiarkan sebanyak 90%, “yang rata-rata rencana ini lebih difokuskan kepada politik pihak pembangkang.” Seterusnya, “Kementerian memandang serius terhadap penyiaran rencana di dalam penerbitan ini yang tidak mematuhi skop asal permohonan dan ketidakseimbangan dalam penyiaran rencana-rencana tersebut.”
Dalam surat yang ditandatangani Tengku Mahmodd Tengku Ismail itu, KDN mengarahkan kami “menghentikan penyiaran rencana-rencana sedemikian dan mematuhi skop asal permohonan Detik dengan serta merta.” Jika tidak, kami boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Mesin Cetak.
Dengan serta-merta kami memberi jawapan balas kepada surat tersebut. Inti utama surat berkenaan ialah kami cuba sedaya upaya mengikut peraturan yang ditentukan, tapi tentulah peraturan yang tidak menekan kebebasan akhbar. Namun, kami mencadangkan perubahan yang akan kami lakukan adalah berperingkat-peringkat, khususnya selepas pilihan raya umum. Kami tidak mendapat apa-apa respons daripada surat tersebut.
Apabila menghubungi pihak KDN untuk mendapat maklum balas, kami diberitahu oleh pegawainya bahawa kami membuat permohonan memperbaharui permit agak lambat dan ia menyebabkan jawapan dari KDN juga akan terlewat sama. Walaupun begitu, kami amat mengharapkan penerbitan Detik tidak terganggu khususnya untuk isu khas analisis pilihan raya 1999 yang dijadualkan terbit pada awal Disember.
Selepas dua tiga kali bertanyakan jawapan KDN, akhirnya kami dimaklumkan bahawa permit Detik dapat diperbaharui semula. Kata pegawai KDN, suratnya akan dihantar kemudian. Menyedari tarikhnya sudah begitu terlewat kami terus saja ke Unit Kawalan Penerbitan KDN di bangunan Arab Malaysian Bank untuk mengambil surat berkenaan.
Sah, menurut surat KDN.1505(8757)(25) bertarikh 9 Disember 1999, yang ditandatangani Che Haslina Che Mamat, “sukacita dimaklumkan permohonan tuan untuk mendapatkan Permit Penerbitan Detik telah diluluskan”. Hari itu juga kami menjelaskan bayaran permit sebanayak RM500.00.
Menurut prosedur, kami perlu mendapatkan nombor PP Detik terlebih dahulu sebelum mencetak. Kata seorang pegawai KDN, tunggulah seminggu dua lagi untuk memperolehi nombor berkenaan. Memikirkan ia hanya satu formaliti saja, kami terus mencetak kandungan bahagian dalam Detik bil. 17 yang sudahpun cukup terlewat itu. Malang sekali apabila kami menghubungi pegawai KDN beberapa hari kemudian, nombor PP Detik masih belum dapat diberikan.
Keadaan menjadi lebih malang, apabila kami menelefon pegawai KDN selepas itu, dimaklumkan pula bahawa “atas arahan pihak menteri, permit Detik ditarik balik.” Kami cukup terkejut dengan makluman lisan itu. Bayangkan Detik sudahpun dicetak isi kandungan dalamnya, dan kami sudah merancang penerbitan Detik khususnya menjelang alaf baru. Rupanya begitu mudah pihak KDN, khususnya di pihak menteri, “menarik balik” kelulusan yang telahpun diberikan secara bertulis. Dan bayangkan penarikan balik itu hanya dimaklumkan secara lisan dan itu pun dibuat selepas kami berusaha menghubungi KDN.
Seterusnya pada 24 Disember 1999 kami mendapat surat tunjuk sebab mengapa permit Detik tidak boleh dibatalkan. Anehnya kali ini alasan pembatalannya tidak merujuk langsung kepada kandungan Detik, tidak sepertimana surat amaran sebelumnya.
Tiga kesalahan besar kami ialah:
- Tidak mencetak alamat penerbit.
- Meletakkan permit penerbitan Detik di bawah Penerbitan Pemuda tanpa kebenaran Menteri.
- Melantik Ahmad Lutfi Othman tanpa sebagai Ketua Pengarang Detik tanpa memaklumkan kepada KDN.
Menyedari semua kesalahan besar kami itu dilakukan dengan cuai, kami secepat kilat memohon maaf kepada KDN. Ahmad Lutfi kini diturunkan pangkat kepada jawatan Editor. Bagaimanapun kami menafikan bahawa kami telah melakukan kesalahan no. 2.
Buat masa ini, pihak KDN belum memberikan apa-apa jawapan kepada penjelasan kami tadi. Pembaca Detik nampaknya tidak sabar-sabar untuk mengetahui keadaan sebenar apa yang menimpa kami. Ramai yang menelefon bertanyakan apakah Detik sudah diharamkan. Jawab kami, ya dan tidak. Ya, kerana kami tidak dibenarkan menerbitkan majalah berkenaan. Tidak kerana permit kelulusan pada 9 Disember (sebelum Kabinet baru dibentuk) belum lagi dibatalkan secara bertulis.
Insya-Allah, dari masa ke semasa, kami akan memberikan penjelasan lanjut tentang apa yang berlaku kepada majalah Detik ini.
PENGURUSAN DETIK