KUALA LUMPUR, 12 Jan - Empat individu termasuk pemimpin pembangkang iaitu peguam Karpal Singh dan naib presiden Parti Keadilan Nasional Marina Yusoff serta editor Harakah Zulkifli Sulong dan pencetak akhbar itu Shea Lim Thye ditahan polis secara berasingan hari ini.
Karpal ditangkap petang tadi selepas menyerah diri di balai polis Dang Wangi. Waran tangkap untuknya dikeluarkan semalam.
Mereka ditahan berasingan di ibu negara dan mereka kesemuanya dibebaskan dengan ikat jamin dan dijangka akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan hasutan.
Karpal, ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Dang Wangi, Jalan Stadium, di sini, berkata waran tangkap dikeluarkan oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur semalam dan beliau hanya diberitahu mengenainya hari ini sebelum datang menyerah diri pada pukul 5.45 petang.
Karpal diiringi oleh anaknya Gobind Singh Deo, yang juga seorang peguam.
Karpal berkata adalah pertama kali tuduhan seumpama itu dihadapkan ke atas seorang peguam kerana para peguam mempunyai hak bertindak tanpa takut atau pilih kasih bagi pelanggan-pelanggan dan beliau tidak akan tunduk ke atas ancaman seperti itu.
Karpal, yang dibebaskan selepas kenyataan beliau diambil oleh ASP K. Manoharan, berkata bahawa penahanan beliau dilakukan di bawah Seksyen 4 (1)(B) Akta Hasutan 1948 terhadap perkataan-perkataan yang dilafazkan di Mahkamah Tinggi sebagai peguam bela bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, waran tangkapan ke atas beliau dikeluarkan berikutan ucapan pada 10 Sept lepas, sewaktu berhujah mengenai keracunan arsenik telah menyebut kata-kata menghasut berbunyi "beberapa orang di peringkat atasan bertanggungjawab ke atas perbuatan itu."
Karpal diminta kembali untuk mengikat jamin polis sebanyak RM5,000 sebelum 9 pagi esok dan akan dihadapkan di mahkamah pada Jumaat ini.
Para pemimpin parti DAP termasuk pengerusinya Lim Kit Siang dan ahli-ahli Parlimen Chong Eng, Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Teresa Kok turut berada di balai selepas diberitahu mengenai penahanan Karpal.
Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Mat Zin Ibrahim, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan tangkapan itu tetapi tidak mahu mengulasnya.
Tangkapan pertama dibuat ke atas editor Harakah Zulkifli Sulong di balai polis Sentul pada pukul 10.30 pagi tadi.
Zulkifli ketika dihubungi mengesahkan penahannya selepas beliau menyerah diri di balai itu dan dibebaskan kemudian dengan ikat jamin sejumlah RM3,000.
Zulkifli, yang akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Raja pada pukul 9.30 pagi esok, ditahan berdasarkan satu artikel berbentuk hasutan yang dikeluarkan oleh akhbar itu pada Ogos 1999.
Turut ditangkap bersama Zulkifli ialah pencetak akhbar itu Shea Lim Thye dan beliau akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya esok pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Ku Chin Wah mengesahkan tangkapan ke atas kedua-dua mereka.
Marina pula ditahan kira-kira 10.40 pagi selepas beliau menyerah diri di balai polis Cheras.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Aman Hussain berkata Marina dibebaskan dengan ikat jamin secara lisan berjumlah RM5,000 oleh rakannya yang bernama Ng Lum Yong.
Marina akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 14 Jan ini pada pukul 10 pagi atas tuduhan di bawah Seksyen 4(1)(B) Akta Hasutan 1948 berhubung ucapannya pada malam 29 Okt lepas mengenai peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Jika sabit kesalahan, Marina boleh didenda sebanyak RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Timbalan presiden Keadilan Tian Chua dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas tangkapan itu berkata penahanan itu "kejam, tidak peka dan tidak bertimbang rasa".