Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Peristiwa Mendukacitakan

Setelah dianugerahkan kemenangan menguasai Terengganu, saya lihat satu 'trend' negatif telah menyerang "sebahagian ahli PAS", termasuk di kalangan kepimpinanan. Sifat sombong dengan kemenangan telah terserlah. Bayangkan, ahli di peringkat paling bawah pun sudah mula bercakap sombong, mula berlagak dan seolah-olah kemenangan itu semata-mata kerana hasil perjuangan mereka semata-mata.

Adakah ini akhlaq pejuang Islam ? Bila menang, kebaikan dan pertolongan pihak lain dinafikan. Yang difikirkan sekarang ialah untuk mengenepikan orang itu dan orang ini, selain kecenderungan untuk menduduki jawatan-jawatan tertentu. Bagi saya, tarbiyah PAS selama ini tidak berjaya melahirkan kepemimpinan dan pendokong yang berfikir tentang dakwah dan tarbiyah, berakhlak dengan akhlak Islam dan beramal dengan apa yang mereka perjuangkan. Selepas kemenangan terlalu banyak cerita mengenai kelakuan buruk yang ditunjukkan mereka.

Saya tidaklah terlalu terkilan jika orang bawahan yang berperangai demikian. Tetapi saya sukar menerima jika pihak kepimpinanan sendiri bersikap sombong dan secara diam, ada cenderungan merebut habuan keduniaan yang terbentang di depan mata. Memang benar, guru saya pernah berpesan, selagi penyakit cinta dunia menebal di dalam hati, selagi itu perasaan tamak haloba, penting diri, dengki, dan sebagainya akan ada di dalam diri seseorang. Walaupun dia seorang yang berpakaian Islam, bercakap Islam dan kelihatan begitu ikhlas dengan perjuangan, pada hakikatnya ia sama dengan puak-puak yang mengejar dunia. Orang munafik pun boleh berlakon sebagai seorang pejuang Islam yang tulin.

Bercakap mengenai kemenangan PAS di Terengganu, ada dikalangan kepimpinanan dan ahli PAS yang mahu mengakui bahawa antara faktor yang membantu kemenangan PAS ialah kerana isu Anwar dan sokongan daripada kalangan ahli UMNO sendiri. Segelintir ahli PAS dengan nyata dan terang telah bercakap bahawa kemenangan di Terengganu adalah semata-mata kekuatan PAS. Saya tidak nafikan itu tetapi mengapa mereka sukar sangat mengakui sumbangan pihak lain di dalam kemenangan itu.

Saya mahu dedahkan satu insiden yang amat mendukacitakan. Saya harap pihak tuan akan siarkan tulisan saya ini agar mereka yang terlibat mengambil pengajaran. Satu rombongan pihak dari BA telah menemui Adun X bagi memberikan ucapan tahniah di atas kemenangan beliau. Selain itu mereka berhasrat bersama-sama menguatkan pengaruh BA melalui program-program yang akan dijalankan. Mereka datang dengan besar hati, membawa cadangan dan saranan positif kepada beliau. Selain itu, mereka berhasrat memberikan apa saja sumbangan yang diperlukan oleh Adun itu bagi membantu beliau dan kerajaan negeri. Apa yang berlaku amat menyedihkan. Adun tersebut bukan sahaja tidak mempersilakan mereka masuk, malah memperkecilkan sumbangan mereka di dalam pilihan raya yang lalu. Malah rasional kewujudan mereka dipertikaikan. Sumbangan mereka ketika pilihanraya dinafikan bulat-bulat.

Bayangkan mereka datang dengan besar hati untuk terus membantu tetapi diperlakukan sedemikian rupa. Yang datang pula bukanlah sebarangan orang. Yang dikenalpasti mereka telah memberi sumbangan besar dalam menyusun jentera dari dalam pihak UMNO sendiri untuk memastikan kekalahan BN. Setiap malam menjelang pilihanraya, mereka mengumpulkan kalangan ahli UMNO untuk menyusun agenda bagi membantu BA. Malah banyak masa, tenaga dan wang ringgit mereka dihabiskan semata-mata untuk memporak-perandakan UMNO dan menarik sokongan ahli UMNO agar mengundi PAS. Satu sen pun mereka tak minta duit Adun tersebut. Mereka pulang begitu sahaja dengan perasaan amat kecewa dan terkilan dengan sikap Adun yang itu. Akhlak seperti ini sepatutnya tidak ada pada seorang kepemimpinan parti Islam ? Kalau kepemimpinan bersikap sebegini begini, bayangkan ahli-ahli diperingkat bawahan nanti.

Sikap sombong dan takabur mereka makin terserlah. Saya sangat dukacita. Itu baru satu contoh. Belum lagi saya sebutkan peristiwa memalukan di Hotel Tanjung Jara.

Biarlah bahasa saya agak kasar dan biarlah saya dedahkan insiden-insiden buruk ini supaya mereka berwaspada. Fikirlah besar sikit dan jangan takut dikritik. Saya mengambil keputusan mendedahkan hal ini kerana usaha menegur dan memberi nasihat secara lebih lembut telah menemui kegagalan. Saya tak tahu sebabnya. Mulai sekarang saya dan beberapa rakan lain akan mendedahkan perkara yang perlu yang melibatkan pemimpin kita. Saya tidak ada maksud jahat, tetapi ini bukti saya cintakan Islam dan sayangkan pemimpin dan jamaah. Kalau mereka berjiwa dan berfikir besar, saya percaya mereka akan menerima perkara ini dengan lapang dada dan membetulkan kelemahan yang berlaku. Saya dan rakan-rakan akan terus memantau segala langkah dan tingkahlaku mereka...

Semoga Allah mengampunkan saya,

Imad Aqel
K. Terengganu.

Komen Tok Ayah : Saya diamanah untuk mengendalikan Laman ini di atas nama Parti PAS, tetapi tidak semesti kami pihak PAS tidak boleh menerima teguran. Walaupun teguran ini boleh dibuat secara tidak terdedah.

Kepimpinan atau siapa sahaja tidak lari daripada membuat kesilapan. Kita boleh tegur, tetapi mestilah mengikut lunas yang betul.

Sikap keterbukaan ini adalah sikap PAS yang mana berasaskan kepada ajaran Islam. Teknik penyiaran bergantung pada parti tetapi kami masih lagi memberi ruang kepada semua pembaca untuk membuat teguran demi untuk mencapai suatu kesempurnaan - Insya-Allah.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com