DUNGUN, 25 Dis - Penduduk di beberapa buah kampung di Dungun berada dalam keadaan kebimbangan berikutan paras air Sungai Dungun yang meningkat di samping ombak besar serta angin kencang berlaku sejak dua hari lepas.
Dalam kejadian malam tadi, benteng penghalang ombak yang berdekatan dengan Kampung Bijanga dan Kampung Sungai Udang pecah akibat dipukul ombak dan menyebabkan air sungai serta laut melimpah masuk ke dalam rumah penduduk.
"Rumah kami ditenggalami air sedalam antara 0.5 dan 0.8 meter...kejadian benteng itu pecah pada pukul 12.30 malam tadi," kata seorang penduduk di Kampung Bijanga, Abdullah Mohamad.
Beliau yang mempunyai enam orang anak yang berumur antara 8 dan 20 tahun kini berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak dua hari lepas memandangkan hujan yang turun dan keadaan angin yang kencang serta ombak besar.
"Selain air dari sungai dan laut melimpah, air di parit besar berdekatan juga melimpah menyebabkan ramai penduduk di sini terpaksa meletakkan barangan mereka ke tempat tinggi," katanya.
Sementara itu, beberapa buah jalan yang berdekatan dengan Kampung Lot Pantai dan Kampung Teluk Lipat ditutup kepada lalulintas kerana dinaiki air apabila sebahagian daripada benteng pantai berdekatan dihanyutkan air laut.
Selain itu, jalan-jalan berdekatan juga ditimbuni pasir yang menyebabkan jalan berkenaan licin.
Jurucakap bilik gerakan polis Dungun ketika dihubungi berkata bahawa beberapa tempat di daerah ini turut mengalami hakisan pantai.
Kata jurucakap itu, setakat ini tiada pemindahan dilakukan lagi.
Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di km 97 berdekatan Sungai Paka turut dinaiki air sejak malam tadi dan pengguna jalan raya diminta memandu denganperlahan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, katanya.