ALOR SETAR : Keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah mengenai khatib solat Jumaat semasa Sultan Kedah melawat mana-mana masjid di negeri itu menimbulkan banyak reaksi.
Ini kerana, Mesyuarat Exco Kedah itu hanya membenarkan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (Maik) saja menjadi khatib semasa lawatan Sultan bersama rakyat di masjid pada hari Jumaat.
Keputusan itu telah diumumkan oleh Pengerusi Hal Ehwal Islam negeri, Fadzil Hanafi yang kononnya bagi mengelakkan ia digunakan oleh pembangkang.
Menurutnya, imam sebuah masjid di Alor Malai, dekat sini akan dipanggil kerana membenarkan seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik pembangkang menyampaikan khutbah.
Kejadian bermula apabila Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah menunaikan Solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Alor Malai, dekat sini pada Jumaat kedua akhir bulan Ramadan lalu.
Menjadi kelaziman pada Sultan Kedah akan menunaikan Solat Jumaat di mana-mana masjid di negeri ini.
Pada hari itu, Sultan Kedah berpeluang mendengar sendiri kupasan Nuzul Al-Quran disampaikan oleh Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor dalam khutbahnya di situ.
Difahamkan, imam masjid itu menunaikan umrah dan mereka yang berkenaan merasakan amat wajar membenarkan Ustaz Fadzil menyampaikan khutbah, terutama kerana masjid itu berhampiran kediamannya.
Dato' Haji Fadzil ketika mengulas berkata, amat tidak wajar sekiranya khutbah mengenai Nuzul al-Quran juga dianggap sebagai fitnah.
"Tiada seorang pun exco yang hadir pada hari itu untuk mendengar khutbah yang saya sampaikan di hadapan Sultan itu," tegasnya dalam ceramah di Pendang, baru-baru ini.
"Saya minta exco lebih banyak buat kerja lain yang lebih bermanfaat kepada rakyat negeri ini," katanya lagi.
Kata Dato' Haji Fadzil, itulah akibatnya apabila pemimpin diangkat dari kalangan mereka yang jahil agama.
"Apa jadi dengan solat Jumaat itu sekiranya Yang Dipertua Maik uzur pada hari Jumaat itu, disebabkan Yang Dipertua Maik saja yang boleh membaca khutbah di depan Sultan.
Fadzil Hanafi yang menang tipis di Dun Tanjung Seri dengan menewaskan Ustaz Niamat Yusoff yang majoriti hanya 440 undi saja.