Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Fail-fail Penyelewengan Sedang di Teliti

KUALA TERENGGANU : Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya akan meneliti fail-fail milik kerajaan sebelum ini sebelum mengambil sebarang tindakan.

Katanya, mana-mana fail yang patut diserahkan kepada pihak-pihak berkenaan akan dibuat selepas menelitinya secara terperinci.

"Kami (kerajaan negeri) akan teliti dahulu, yang perlu diserah kita serah, yang tidak perlu tak diserah," ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan hamper hari raya kepada para pesakit di Hospital Kuala Terengganu di sini, Khamis lalu.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa kebajikan dan Kesihatan negeri, Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Ketika diminta menjelaskan maksud fail 'berlori-lori' beliau secara berseloroh berkata: "Ada lori besar, ada lori kecil".

Bagaimanapun, tegasnya fail-fail tersebut banyak termasuk yang berkaitan dengan kewangan, moral, ekonomi dan sebagainya.

Sebelum ini, ketika memberikan ucapan di Stadium Sultan Ismail Kuala Terengganu, Menteri Besar memberi amaran agar pihak-pihak tertentu jangan terlalu berlebihan dalam membuat fitnah atau tuduhan melulu kepada kerajaan negeri.

Ini kerana, kerajaan negeri mempunyai 'berlori-lori' fail yang boleh digunakan bila-bila masa kalau kerajaan negeri mahu bertindak kepada pihak-pihak tertentu.





Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com