FITNAH KETERLALUAN BN PUNCA UNDI PEMBANGKANG MENINGKAT


Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang dibantu Exco Kanan Kerajaan Negeri Mustafa Ali menyarungkan jubah rasmi Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Husain Awang. Husain, 52, Ketua Penerangan Pas Terengganu menggantikan Datuk Abdul Rahman Mohamad.


KUALA TERENGGANU, 20 Dis - PAS hari ini menidakkan bahawa undi yang diperolehi Umno berkurangan pada pilihan raya umum lepas disebabkan fitnah PAS sebaliknya mendakwa ia berpunca daripada fitnah Barisan Nasional sendiri yang keterlaluan.

Naib Presiden PAS pusat Haji Mustafa Ali berkata fitnah dan pembohongan yang dilakukan oleh BN termasuk menggunakan media massa membuatkan pengundi merasa benci dan memberikan undi mereka kepada pembangkang.

"Post mortem yang kita (PAS) buat (menunjukkan) kerana dia (BN) buat fitnahlah yang kita dapat undi banyak kerana fitnah itu buat orang benci," katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu dan majlis angkat sumpah anggota dewan di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata fitnah dan pembohongan yang disebarkan PAS serta masalah dalaman parti adalah antara faktor menyebabkan undi diperolehi Umno pada pilihan raya lepas berkurangan.

Dr Mahathir selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam berkata dalam kempen pilihan raya lepas PAS antaranya mendakwa kononnya beliau tidak mengiktiraf ulama dan Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad pula adalah penternak babi.

Mustafa berkata fitnah BN yang keterlaluan itu menyebabkan undi yang diperolehi pembangkang terutama PAS meningkat yang membolehkannya menawan Terengganu dan berkuasa kembali di Kelantan.

Beliau juga berkata Perdana Menteri tidak boleh menafikan bahawa beliau tidak mengiktiraf ulama kerana Dr Mahathir pernah membuat kenyataan itu pada perhimpunan Agung Umno.

"Dia (Dr Mahathir) tak iktiraf ulama masuk politik (kerana) kalau masuk politik agama habis tapi dia iktiraf (Datuk Paduka Dr) Abdul Hamid Othman dalam Umno," katanya.

Ketika ditanya mengenai isu sembahyang dua imam di Terengganu, Mustafa berkata daripada maklumat yang diterimanya, kejadian seumpama itu tidak lagi berlaku di negeri ini.

"Kerajaan negeri juga telah suruh semua (rakyat) kembali bersatu dan setakat ini kami puas hati dengan perpaduan yang ada," katanya.

Mustafa juga berkata walaupun Terengganu kini di bawah kerajaan PAS, tidak timbul masalah untuk menarik kemasukan pelabur seperti yang didakwa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz baru-baru ini.

"Dia (Rafidah) apa tahu? Apa yang nyata ialah pelabur sudah mula tunjuk minat di Terengganu," katanya.