Akhbar dan TV Fitnah Lagi - 420 kakitangan tidak dipecat

KUALA TERENGGANU, 3 Jan - Menteri Besar Terengganu Haji Abdul Hadi Awang hari ini menjelaskan bahawa kerajaan negeri tidak memecat 420 pegawai dan kakitangan Unit Perpaduan Ummah (UPU) sebaliknya kontrak perkhidmatan mereka tamat pada 31 Dis lepas.

"Persoalan 420 pekerja UPU dipecat tidak timbul kerana kontrak mereka telah tamat pada 31 Dis lepas dan kita membubarkan unit berkenaan sebaik sahaja kontrak mereka tamat," katanya di sini, hari ini.

Ketika ditanya kemungkinan 420 kakitangan berkenaan akan diserapkan semula sebagai pekerja di Unit Bina Insan (UBI) yang ditubuhkan kerajaan PAS bagi menggantikan UPU, Haji Abdul Hadi berkata pihaknya akan mengkaji perkara itu secara terperinci.

"Kita akan melihat dalam pelbagai aspek kerana sebelum ini kebanyakan daripada mereka diberi jawatan dengan gaji yang tinggi tetapi tidak mempunyai kerja," katanya.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri kini dalam proses merangka fungsi UBI dan memperkenalkan struktur organisasinya.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar harian hari ini mengenai tindakan kerajaan PAS Terengganu memecat 420 kakitangan termasuk Pengarah Unit Perpaduan Ummah (UPU), Baharuddin Mohamad, berkuatkuasa kelmarin.

Akhbar itu melaporkan bahawa unit berkenaan turut dibubarkan dan digantikan dengan jentera baru yang dinamakan Unit Bina Insan (UBI) bagi mengukuhkan kedudukan parti itu di Terengganu.

Sebelum ini, kerajaan negeri juga memecat 15 kakitangan Berita Darul Iman dan Studio 305 serta mengambil 30 pekerja baru untuk menggantikan kekosongan berkenaan, lapor akhbar itu.

Haji Abdul Hadi juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan negeri akan memecat imam dan bilal yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) lepas.

Terdapat kira-kira 2,000 imam dan bilal di Terengganu.

"Kerajaan negeri sebenarnya sedang menimbang untuk menambah jumlah imam dan bilal di negeri ini bagi memenuhi permintaan di seluruh negeri," kata beliau.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com