KUALA TERENGGANU, - Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah mendapat peruntukan RM40 ribu dari Kerajaan Negeri Terengganu untuk memindahkan gajah-gajah yang sering mengancam kawasan pertanian.
Pengarah Perhilitan Negeri, Ahmad Shamsuddin Sya'ari hari ini berkata, lima ekor gajah yang mengancam tanaman di Setiu dan Hulu Terengganu telah dipindahkan tahun lepas dan tumpuan akan diberi kepada kawasan Besut dan Dungun tahun ini.
Katanya, kawasan perlindungan gajah di kawasan Setiu dan Hulu Terengganu sekarang semakin sempit akibat pembangunan berbanding kawasan perlindungun gajah yang masih terpelihara di daerah-daerah lain.
Beliau berkata, jabatan tidak bercadang memindahkan gajah di daerah-daerah lain kerana masalah itu tidak begitu serius, selain tiada peruntukan yang mencukup.
Mengikut taburan, terdapat kira-kira 100 ekor gajah di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu, tambah beliau.
Ahmad Shamsuddin berkata jabatan itu sedang mengumpulkan maklumat tentang kerosakan dan kerugian yang dialami oleh ladang-ladang dan penduduk kampung akibat ancaman gajah tahun lepas.