PULAU PINANG, 4 Jan - Datuk Lim Ee Heong, seorang daripada pengasas Gerakan, hari ini mengumumkan keputusannya untuk keluar daripada parti berkuatkuasa semalam.
Ee Heong, 68, yang mengasaskan parti itu bersama-sama satu kumpulan yang termasuk bekas Ketua Menteri Tun Dr Lim Chong Eu pada tahun 1968, berkata beliau berbuat demikian kerana tidak berpuashati dengan kepimpinan presiden parti itu sekarang, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.
Menurut surat peletakan jawatan setebal dua muka surat yang dihantar kepada Keng Yaik bertarikh 3 Jan 2000 dan difakskan ke Bernama di sini hari ini, Ee Heong berkata Gerakan telah terkeluar dari matlamat asal penubuhannya.
Katanya beliau tidak akan memberi sokongan kepada pemimpin yang tidak berkebolehan menerajui parti itu.
Pada 2 Dis lepas, anaknya, Boo Chang dan anak Chong Eu, Chien Aun bertindak keluar parti itu setelah masing-masing menang kerusi Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum ke-10 empat hari sebelum itu sebagai calon Barisan Nasional.
Boo Chang adalah wakil kawasan Datuk Keramat dan Chien Aun pula anggota dewan bagi Bayan Lepas.