Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kenyataan Akhbar Abdul Rahim Ghouse

Teruskanlah Perhimpunan Secara Aman

Dr. Mahathir dan Pak Lah mungkin berfikir bahawa mereka boleh terus berkuasa dengan mengugut rakyat dan memerintah secara kuku besi. Mereka lupa bahawa akhirnya rakyatlah penentu segala-galanya. Bagi rakyat tidak mustahil Dr. Mahathir dan kuncu-kuncunya boleh dijatuhkan dan Anwar dibebaskan.

Dr. Mahathir dan Pak Lah mahu menghapuskan perjuangan reformasi rakyat dan juga Anwar Ibrahim. Kita jangan lupa pukulan hampir maut dari Rahim Noor dan percubaan membunuh melalui racun arsenik terhadap pemimpin kita Saudara Anwar Ibrahim.

Klon Dr Mahathir, Pak Lah, juga sudah seakan tidak siuman seperti tuannya Dia juga menggunakan pendekatan mengugut dan menekan rakyat, serta menyalahgunakan proses perundangan semata mata untuk kepentingan politik dan bukannya untuk kesejahteraan rakyat.

Mereka lupa, semakin perjuangan rakyat ditekan dan diperlekehkan, semakin membaralah semangat dan komitmen rakyat untuk berjuang. Rakyat, khususnya pecinta keadilan dan pendukung Gerakan Reformasi mesti terus berhimpun secara aman. Ini bertepatan sebagaimana penegasan saudara Tien Chua, Naib Presiden KeAdilan baru baru ini, bahawa perhimpunan rakyat secara aman merupakan hak serta kebebasan rakyat untuk bersuara dan ianya dilindungi di bawah Perlembagaan Negara.

Dr Mahathir dan Pak Lah mahu terus menipu rakyat. Dengan menggunakan helah ‘demokrasi’, Dr Mahathir dan Pak Lah juga menuntut rakyat mengikuti telunjuk mereka kerana kejayaan dalam pilihanraya yang lepas. Rakyat tahu kemenangan BN adalah kemenangan yang penuh dengan tipu muslihat dan melanggari prinsip asas demokrasi yang menuntut pilihanraya yang adil lagi bebas.

Perhimpunan Rakyat secara aman mesti diteruskan. 25hb Januari 2000 ini merupakan satu lagi episod kesinambungan perjuangan Gerakan Reformasi dengan rakyat berkumpul dan berhimpun secara aman. Kita mesti terus menunjukkan sokongan yang kental dan tidak berbelah bagi kepada Saudara Anwar Ibrahim, pemimpin Gerakan Reformasi dan bakal Perdana Menteri kita yang akan terus dibicarakan atas kesalahan dan tuduhan palsu yang tidak pernah dilakukannya.

Kita juga harus terus menunjukkan sokongan padu kepada teman-teman seperjuangan yang akan dibicarakan di mahkamah 'Mahathir' atas tuduhan menghadiri perhimpunan secara aman.Selanjutnya, kita juga harus terus berhimpun secara aman bagi menunjukkan sokongan kita kepada teman-teman yang akan dibicarakan atas pertuduhan di bawah Akta Polis, Akta Penerbitan, Akta Hasutan serta Akta Rahsia Rasmi yang dipergunakan sewenang-wenangnya untuk mencengkam, mengugut serta melemahkan kekentalan semangat perjuangan teman-teman untuk menegakkan kebenaran dan membela nasib rakyat terbanyak.

Cuma melalui keberanian dan kebangkitan rakyat sahajalah kita dapatmengorak langkah yang lebih tegas dan mantap bagi membetulkan hala tuju serta masa depan negara dan generasi akan datang.

Teruskan Perjuangan!!!!!

Salam Reformasi

Abdul Rahim Ghouse
23 Januari 2000




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com