Exco Terengganu isytihar harta kepada umum

Ng Boon Hooi

2pm, JUM: Semua anggota majlis mesyuarat kerajaan (exco) Terengganu diwajibkan mengisytiharkan harta masing-masing kepada orang ramai dan bukannya kepada menteri besar sahaja seperti lazim diamalkan oleh negeri-negeri di bawah kerajaan Barisan Nasional.

Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang, dalam satu kenyataan kepada malaysiakini tengah hari ini memberitahu peraturan berhubung hal itu akan dikuatkuasa tidak lama lagi. Langkah mengumumkan harta exco kepada orang ramai merupakan usaha yang tidak pernah diamalkan walaupun di peringkat kerajaan persekutuan. Di peringkat kabinet persekutuan, semua menteri mengisytiharkan harta masing-masing kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Hadi lagi, memandangkan kerajaan negeri masih di peringkat penyusunan semula pentadbiran, tarikh akhir bagi setiap exco berbuat demikian belum ditetapkan lagi.

"Proses untuk mengisytiharkan harta juga akan turut dikaji," katanya.

Selain langkah terbaru itu, Hadi turut menjelaskan bahawa kerajaan pimpinannya akan mewujudkan jawatankuasa hisbah – peranannya sama dengan jawatankuasa penilaian (ombudsman) yang biasa diamalkan di negara-negara Barat – bagi menerima aduan-aduan orang ramai berhubung salah laku pegawai-pegawai kerajaan. Beliau berkata, bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas telah dilantik untuk mengetuai jawatankuasa itu.

"Jawatankuasa itu akan bertindak berdasarkan aduan-aduan dari orang ramai berhubung amalan salah guna kuasa wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan," jelasnya. "Aduan itu termasuklah terhadap menteri besar sendiri."

Ditanya apakah langkah ini boleh disifatkan terulung di negara ini, Hadi menjelaskan bahawa Badan Pencegah Rasuah sepatutnya bertindak sedemikian tetapi BPR tidak berkesan di bawah pengaruh Perdana Menteri sekarang.

"BPR tidak bebas daripada pengaruh campur tangan orang politik," tegasnya.