TAHNIAH SENATOR HASSAN SHUKRI

ROSLAN SMS

Berakhirlah sudah Sidang Dewan Undangan Negeri Trengganu semalam setelah dibentang, dibahas dan diluluskan Belanjawan Negeri untuk tahun 2000. Turut diluluskan oleh Dewan semalam adalah perlantikan dua orang wakil baru Trengganu ke Dewan Negara iaitu Naib Presiden PAS Ustaz Hassan Shukri dan Naib Ketua Muslimat PAS Negeri Trengganu Safinah Jusoh.

Dengan perlantikan Ustaz Hassan Shukri, yang tidak bertanding pada pilihanraya lalu sebagai ahli yang berhormat Dewan Negara Malaysia maka lengkaplah kesemua kepimpinan kanan dalam PAS Pusat kini memegang amanah sebagai ahli yang berhormat samada dalam Dewan Negara, Dewan Rakyat maupun Dewan-dewan Undangan Negeri. Mereka yang dimaksudkan adalah dari:

Mursyidul Am Tuan Guru Dato’ Nik Abd. Aziz Nik Mat – YAB Menteri Besar Kelantan
Timbalan Mursyidul Am Ustaz Idris Omar– YB ADUN Pahang
Presiden Ustaz Dato’ Fadzil Nor – YB Ahli Parlimen & ADUN Kedah
T. Presiden Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang– YAB Menteri Besar Trengganu & Ahli Parlimen
Naib Presiden Tuan Hj. Mustapha Ali – YB Ahli Parlimen & ADUN Trengganu
Naib Presiden Ustaz Hassan Shukri – YB Ahli Parlimen (Dewan Negara)
Ketua Dewan Ulamak Pusat Ustaz Harun Taib – YB ADUN Trengganu
Ketua Dewan Pemuda Pusat Sdr. Hj. Mahfuz Omar – YB Ahli Parlimen
Ketua Dewan Muslimat Pusat Ustazah Jamilah Ibrahim – YB Ahli Parlimen (Dewan Negara)
Setiausaha Agung Ustaz Nasharudin Mat Isa – YB Ahli Parlimen
Bendahari Pusat Ustaz Haji Abd. Halim Abd. Rahman – YB ADUN Kelantan
Ketua Penerangan Pusat Ustaz Omar Muhammad – YB ADUN Kelantan

Pencapaian ini akan turun dalam sejarah PAS sebagai pencapaiannya yang terbaik di abad ini sejak penubuhannya pada tahun 1955. PAS bermula dengan cuma 1 wakil iaitu Tuan Guru Hj. Ahmad Tuan Hussin sebagai ahli Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955 kini dipenghujung abad ini PAS berkembang dengan 27  ahli Parlimen, 98 ahli Dewan Undangan Negeri dan 4 ahli Dewan Negara disamping menguasai 2 buah kerajaan negeri.

Alhamdulillah ini juga bermakna cahaya kegemilangan Islam telah mula memancar terik pada abad ke 20 yang akan berakhir ini dan insyallah berkat kerja kuat dan commitment semua pihak dari segenap lapisan tidak mustahil abad ke 21 kelak akan menjadi abad untuk Islam di Malaysia nanti. Kita berdoa dan berharap agar pucuk pimpinan PAS dibawah kepimpinan Dato’ Presiden akan terus melangkah dengan lebih berani, cekal dan tersusun lagi dalam memimpin ummah di negara ini bagi bersama-sama mencapai impian tersebut.

Dalam pada itu Kerajaan Negeri Kelantan dan Trengganu perlu unggul dalam mempamirkan keadilan dan kesaksamaan Islam dalam pentadbiran untuk meyakinkan rakyat bahwa hanya Islam sahaja yang dapat menyelamatkan nasib dan masa depan mereka dan negara kita yang tercinta ini. Disamping itu ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli DUN PAS perlu menunjukkan akhlak, kepimpinan dan prestasi perkhidmatan yang baik untuk menarik minat orang-ramai termasuklah rakyat yang bukan Islam agar cenderung untuk bernaung di bawah PAS dialaf baru nanti. Yakinilah diambang kegoyahanan UMNO ini PAS insyallah akan menonjol kukuh dihati rakyat selagi mana perjuangan Islam menjadi azimat perjuangannya.

Roslan_s@yahoo.com