|
KOTA BAHARU, 21 Dis - Kota
Baharu Medical Centre (KBMC), sebuah hospital swasta terulung di
Kelantan bercadang membuka sebuah lagi cawangannya di Terengganu
bagi memberi peluang penduduk Pantai Timur mendapatkan khidmat
rawatan secara lebih profesional.
Pengerusi
Eksekutif KBMC, Dr Nik Mohd Zain Omar berkata, KBMC juga bercadang
untuk menambah beberapa doktor pakar lagi di hospital yang
beroperasi di sini.
"Tambahan itu membabitkan doktor pakar
mata, doktor pakar mulut, hidung dan tekak serta pakar pembedahan
tulang," katanya.
Dr Nik
Mohd Zain berkata, pertambahan tiga doktor pakar itu akan menjadikan
keseluruhan doktor pakar di KBMC kini kepada lapan doktor pakar.
Lima orang doktor pakar yang ada ketika ini terdiri daripada
pakar bius, pembedahan (surgeri), sakit puan (Obstetrik dan
Ginekologi), jantung (Kardiologi) dan kanak-kanak (paediatrik).
Selain daripada lima doktor pakar itu, hospital tersebut
juga mempunyai dua orang pegawai perubatan dan kira-kira 100
kakitangan sokongan yang lain, katanya.
Dr Nik Mohd Zain
adalah juga Pengerusi Eksekutif Nepline Berhad iaitu sebuah syarikat
perkapalan yang kini disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala
Lumpur (BSKL).
Menurutnya, KBMC dibuka kepada orang ramai
pada 14 April 1998, yang dirasmikan oleh Sultan Kelantan. Hospital
tersebut beroperasi di Jalan Sultan Yahya Petra iaitu berhadapan
dengan Jabatan Pengairan dan Saliran dan berhampiran Balai Islam.
"KBMC beroperasi di bangunan dua tingkat mempunyai 60 bilik
wad dari jenis bilik berempat, standard single, eksekutif single,
VIP suite dan royal suite," katanya.
Hospital itu dibina
dengan kos sebanyak RM15 juta dan dilengkapi dengan
peralatan-peralatan terkini untuk perubatan seperti makmal kaji
penyakit, x-ray, pusat rawatan buah pinggang, unit rawatan rapi,
unit kemalangan dan kecemasan, klinik pesakit luar, bilik bedah,
bersalin , farmasi, ambulan dan pusat penjagaan kanak-kanak.
"Tidak kurang daripada 10 pembedahan diadakan di hospital
ini pada setiap bulan manakala untuk pembedahan yang lebih rumit
bagaimanapun masih belum dapat dilakukan lagi," tambahnya.
Sejak hospital itu dibuka ia telah mendapat kepercayaan
daripada penduduk Selatan Thailand dan juga penduduk daripada
beberapa buah negeri seperti Perak, Terengganu dan Pahang
memandangkan kos yang dikenakan di hospital tersebut amat berpatutan
dan jauh lebih murah berbanding rawatan di hospital-hospital swasta
lain di negara ini, kata Dr Nik Mohd Zain.
Mereka yang ingin
mendapatkan rawatan atau memerlukan perkhidmatan ambulan bolehlah
menghubungi talian 09-7439999 dan 09-7433399.
|