KUALA TERENGGANU, 21 Dis -
Hukum hudud akan dilaksanakan oleh kerajaan Pas Terengganu apabila
tiba masanya setelah beberapa perkara berkaitan hukum berkenaan
diselesaikan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan
Pelaksanaan Syariah negeri Ust Harun Taib hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan Syariah Islam bukan
hanya ditumpu kepada hukum hudud tetapi ia turut merangkumi perkara
lain iaitu qisas dan takzir.
"Masih terlalu awal untuk
menyatakan pelaksanaan (hukum) hudud, tapi kami (Pas) akan jalankan
hukum syariah mengikut jadualnya...(hukum) hudud akan dijalankan
apabila tiba masanya," katanya menjawab soalan Tengku Putera Tengku
Awang (BN-Telemung) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.
Ust Harun berkata dalam melaksanakan hukum syariah di
Terengganu, perkara utama yang akan dijalankan ialah perkara-perkara
yang tidak mempunyai pertindihan kuasa dengan kerajaan persekutuan
tetapi jika terdapat pertindihan, perkara itu akan dibincangkan
dengan kerajaan pusat.
"Jika tidak ada masalah dalam
perundingan, InsyaAllah (hukum) hudud akan dilaksanakan dan saya
tidak fikir sampai empat atau lima tahun," katanya.
Menjawab
soalan Datuk Abu Bakar Ali (BN-Kemasik), beliau berkata kerajaan
negeri sebenarnya tidak perlu membuat penjelasan terperinci sebelum
mengisytiharkan kharaj memandangkan perkara itu dijelaskan dalam
manifesto Pas sejak pilihan raya umum 1982.
"Kajian awal
dibuat sebelum pilihan raya umum (1999) lagi, tambahan pula ia
(kharaj) telah disebut dalam manifesto Pas sejak 1982, cuma kali ini
kita menang dan isytihar untuk laksanakannya," katanya.
Beliau berkata pelaksanaan kharaj perlu mendapat kebenaran
daripada kerajaan persekutuan tetapi ada sebahagian daripadanya
boleh dilaksanakan tanpa persetujuan kerajaan pusat.
Harun
berkata kerajaan Pas tidak mengamalkan tindakan membalas dendam pada
mana-mana pihak tetapi rombakan dan pengubahsuaian perlu diadakan
bagi memastikan halatuju dan dasar kerajaan dapat dicapai.
"Setakat ini kita tidak bercadang untuk memecat imam dan
bilal kecuali yang hilang kelayakan dan tidak bersedia untuk
berkhidmat di bawah kerajaan baru...kalau tidak bersedia, elok
undur," katanya.
Ust. Harun berkata mana-mana kerajaan mempunyai
matlamat untuk merombak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) bagi memastikan matlamat kerajaan berkenaan dicapai
dan boleh bekerjasama dengan jabatan dan agensi-agensi kerajaan.
"Oleh itu, konsep pilihan JKKK akan mengikut Syura Rakyat
iaitu mereka dipilih mengikut kelayakan dan khidmatnya serta mampu
memberi manfaat kepada semua penduduk bukannya kepada sesetengah
pihak sahaja," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
Ekonomi, Petroleum dan Perindustrian negeri Mustafa Ali yang
menjawab soalan tambahan Abu Bakar berkata pertukaran beberapa
pegawai peringkat tertinggi kerajaan negeri berdasarkan kekanannya
dan kriteria yang biasa berlaku.
"Tiada balas dendam dan ia
(pertukaran) itu telah dijelaskan secara terbuka dalam media massa,"
katanya.