KUALA TERENGGANU, 24 Dis - Menteri Besar Haji Abdul Hadi Awang berkata pelaksanaan hukum hudud yang akan dibuat di Terengganu boleh membantu menyelesaikan beberapa masalah jenayah kerana ia akan menakutkan orang ramaiuntuk melakukan sebarang kesalahan jenayah.
"Hukum hudud boleh menakutkan penjenayah dan secara tidak langsung membuat mereka untuk tidak melakukan sebarang aktiviti jenayah lagi," katanya pada majlis perjumpaan kesyukuran dengan orang ramai di Stadium Negeri, malam tadi.
Beliau berkata kebanyakan orang masih tidak memahami hukum berkenaan dan hanya memahami konsep iaitu mereka yang mencuri akan dipotong tangannya, sedangkan secara psikologinya ia mampu mengurangkan jenayah berkenaan.
"Bagaimanapun, pelaksanaan hukum itu akan dijalankan dengan berhati-hati dan bukannya sewenang-wenangnya untuk memotong tangan pencuri tanpa bukti-bukti yang betul," katanya.
Menurutnya hudud ialah satu daripada perundangan syariah Islam untuk menangani masalah jenayah bagi memastikan ia tidak berlaku dalam masyarakat Islam dan untuk menjalankannya ia perlu melihat kepada banyak aspek.
Haji Abdul Hadi berkata bagaimanapun masyarakat perlu terlebih dahulu difahamkan dengan hukum hudud itu dan sesuatu hukuman mengikut perundangan itu melihat kepada banyak perkara termasuk daripada segi kejujuran orang yang melaporkannya, (pelapor) tidak membuat kesalahan yang bertentangan dengan agama dan sebagainya.
"Tidak seperti yang difahami oleh masyarakat sekarang, pencuri akan dipotong tangan tanpa menjalani sebarang proses berkaitan hukum hudud yang diajar oleh Islam," katanya.
Pelaksanaan hukum berkenaan juga akan memberi keharmonian kepada semua penduduk di negara ini tanpa mengira mereka bangsa Cina, India atau Melayu, katanya.
Mengenai janji PAS dalam manifesto pilihan raya umum yang lepas, Abdul Hadi yang juga Persuruhjaya PAS Terengganu berkata rakyat perlu memahami bahawa semua janji itu tidak dapat dilaksanakan dengan segera.
"Ada yang kita boleh laksanakan dengan segera dan ada juga perkara yang perlukan kajian terlebih dahulu sebelum dilaksanakan agar ia tidak memberi kesan di masa akan datang," katanya.
Beliau juga meminta supaya masyarakat menyokong kerajaan negeri pimpinannya dan bekerja keras bagi membangunkan Terengganu dalam segala aspek yang boleh.