MB Terengganu beritahu dewan
HUTANG KERAJAAN BN LEBIH RM731JUTA
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Barisan Nasional telah mewariskan hutang kepada kerajaan Barisan Alternatif (BA) di Terengganu berjumlah RM731,334,342.85. Menteri Besar, Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, tabiat suka berhutang itu perlu diperbetulkan segera. (Ucapan penuh Tuan Guru Haji Abd Hadi di muka 29 HARAKAH). Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan Belanjawan Tahun 2000 pada Mesyuarat Yang Pertama Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) Kesepuluh, di sini, Selasa lalu. "Untuk itu, Lembaga Hisbah telah diperkenalkan," katanya. Menurutnya, Belanjawan negeri telah dirangka berdasarkan beberapa strategi, antaranya mengamalkan dasar perbelanjaan berhemat dan telus serta mengelakkan pembaziran dengan menjurus kepada dasar belanjawan berimbang bagi semua sektor. Beliau berkata, jumlah anggaran hasil bagi tahun 2000 adalah sebanyak RM692.182 juta iaitu meningkat sebanyak 1.09 peratus berbanding dengan hasil tahun semasa berjumlah RM684.710 juta. "Hasil dari sektor perlombongan khususnya terimaan dari royalti petroleum dan gas sebanyak RM530 juta terus menjadi penyumbang utama hasil negeri," ujarnya. Pada keseluruhannya, kata beliau, hasil-hasil lain dijangka akan mengalami pertambahan di mana terimaan daripada hasil bukan cukai dianggarkan meningkat kepada RM77.402 juta manakala perolehan dari terimaan bukan hasil sebanyak RM37.632 juta. Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga mencadangkan jumlah perbelanjaan mengurus bagi tahun 2000 diperuntukkan sebanyak RM683.707 juta di mana sebanyak RM80.604 juta disediakan untuk perbelanjaan tanggungan manakala RM603.103 juta bagi perbelanjaan bekalan. "Belanjawan negeri pada tahun hadapan telah disediakan dengan lebihan (surplus) sebanyak RM8.475 juta berbanding dengan jumlah pungutan hasil," katanya. Sehubungan itu, beliau berharap semua jabatan dan agensi kerajaan negeri dapat mengelakkan perbelanjaan yang boros serta perbelanjaan yang kurang perlu. |
Dipetik daripada HARAKAH