Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

PPIT JAMIN HARGA IKAN TIDAK BEBANKAN PENGGUNA

KUALA TERENGGANU, - Persatuan Peniaga Ikan Terengganu (PPIT) hari ini memberi jaminan bahawa harga ikan tidak akan dinaikkan sehingga ke paras membebankan pengguna pada musim tengkujuh dan musim perayaan sekarang.

Pengerusinya, Md Tahar Abdullah berkata pada masa ini kenaikan harga ikan hanya pada paras 15 peratus berbanding sebelum ini dan jumlah itu dianggap tidak membebankan pengguna.

Kadar kenaikan itu adalah perkara biasa setiap kali musim tengkujuh memandangkan nelayan tempatan tidak dapat turun ke laut kerana ombak besar dan angin kencang, katanya.

"Kita minta pengguna jangan panik dengan kenaikan harga ikan kerana ia tetap stabil manakala bekalannya mencukupi bagi menampung keperluan untuk Hari Raya," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata kebanyakan ikan di pasaran negeri ini sekarang telah dibawa masuk dari Thailand, Burma, Indonesia selain dari Perlis dan Kedah bagi menampung keperluan pengguna di negeri ini.

Menurutnya lagi, kos pengangkutan membawa masuk ikan ke negeri ini juga turut menjadi faktor kenaikan harga ikan itu.

Beliau berharap pengguna memahami masalah itu kerana ia hanya bersifat sementara dan harga ikan dijangka kembali stabil menjelang penghujung bulan ini dan apabila musim tengkujuh berakhir.

Mengenai bekalan ikan tongkol yang banyak digunakan masyarakat di negeri ini pada musim perayaan, beliau memberi jaminan bahawa bekalannya mencukupi kerana persediaan sudah dibuat.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com