KUALA TERENGGANU, - Harga ikan di Terengganu kembali stabil sejak beberapa hari lepas berikutan keadaan cuaca yang semakin pulih yang membolehkan aktiviti menangkap ikan berjalan seperti biasa.
Pengerusi Persatuan Peniaga Ikan Terengganu, Mohamed Tahar Abdullah berkata pihaknya juga tidak lagi membawa masuk ikan dari luar kerana bekalan yang sedia ada mencukupi bagi menampung keperluan pengguna.
"Harga ikan telah stabil dan sekarang pengguna boleh mendapatkan ikan segar dengan harga berpatutan di pasaran," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pada musim tengkujuh lepas harga ikan melambung baik sehingga melebihi 15 peratus dan ini mencetuskan rungutan di kalangan pengguna.
Ini berikutan aktiviti menangkap ikan oleh nelayan tempatan tidak dapat dilakukan kerana ombak besar dan bekalan ikan terpaksa dibawa masuk dari Thailand, Myanmar, Indonesia, Perlis dan Kedah.