KUALA LUMPUR, 25 Dis - Ramai calon Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya umum lepas, walaupun dengan majoriti yang kecil yang disumbangkan oleh pengundi kaum India atau undi minoriti, demikian menurut laporan bedah siasat oleh ahli sosiologi, Dr Denison Jayasooria.
Daripada 193 kerusi Parlimen, kaum India menyumbang sekurang-kurangnya 10 peratus pengundi di 28 kerusi, 15 peratus daripada pengundi di 14 kerusi dan 20 peratus pengundi di lapan kerusi, katanya.
Dr Denison yang juga pengarah eksekutif Yayasan Strategik Sosial yang diurus oleh MIC, keseluruhannya pengundi India membabitkan lebih daripada 10 peratus daripada pengundi di 50 kerusi.
"Tidak ragu-ragu lagi kaum India di Malaysia merupakan penyokong kuat BN sejak Merdeka," katanya dalam laporannya yang bertajuk "Cabaran-cabaran Millennium: Pilihan raya umum 1999 dan pengundi India Malaysia" yang dikeluarkan di sini hari ini.
Menurutnya keputusan pilihan raya lepas "jelas membuktikan kesetiaan pengundi kaum India Malaysia kepada BN."
"Adalah jelas bahawa bagi kesemua 50 kerusi, calon-calon BN menang kecuali di tiga kawasan iaitu Bagan, Bukit Mertajam dan Nibong Tebal," katanya.
Dr Denison juga berkata 22 kaum India Malaysia bertanding dalam pilihan raya umum lepas iaitu tujuh daripada MIC, DAP (7), Parti Keadilan Nasional (3), Parti Demokratik Malaysia (1) dan Bebas (4).
Bagaimanapun, hanya tujuh calon daripada MIC menang, katanya. "Ini bermakna bahawa dalam Parlimen abad depan, wakil kaum India Malaysia erdiri daripada tujuh anggota daripada BN-MIC," katanya.
Apakah implikasinya dalam tempoh lima tahun akan datang bagi masyarakat India dalam MIC?.
Dr Denison berkata pertamanya, kerajaan mesti terus menerima bahawa kaum India Malaysia merupakan kaum yang setia menyokong BN.
"Lebih-lebih lagi dalam pilihan raya lepas apabila undi minoriti menentukan keadaan apabila sebilangan anggota Parlimen menang dengan majoriti yang erkurangan berbanding pencapaian pada pilihan raya sebelum itu," katanya.
Menurutnya kerajaan mesti memberi ganjaran kepada kumpulan masyarakat kaum India yang tidak mendapat keistimewaan terutama mereka yang miskin di adang-ladang dan kawasan setinggan yang begitu setia menyokong BN dan memastikan kemenangannya.
Dr Denison berkata penambahan wakil dalam kerajaan di peringkat persekutuan, negeri dan tempatan mesti disediakan melalui MIC.
Menurutnya implikasi kedua pula ialah perlunya pertubuhan bukan kerajaan NGO menjadi semula strategi sokongan yang diguna pakai oleh sebahagian kumpulan masyarakat itu.
Pada pilihan raya umum lepas, terdapat sebilangan pemimpin utama NGO menyertai parti-parti politik dan bertanding buat pertama kalinya.
Bagaimanapun, kesemua yang bertanding, tewas dan menurut seorang penganalisis politik, ia mungkin disebabkan personaliti terbabit merupakan aktivis kelas menengah yang berpusat di bandar yang tidak mempunyai penyokong di peringkat akar umbi.
Dr Denison berkata sebilangan pemimpin utama kaum India dalam NGO sudah bekerjasama dengan parti-parti pembangkang.
"Meskipun mereka pada asalnya berperanan sebagai NGO, mereka menggunakan rangkaian itu dan menyokong pembangkang semasa pilihan raya.
Dr Denison berkata implikasi ketiga dan terakhir bagi politik yang berasaskan kaum India di Malaysia ialah tugas besar yang dipikul oleh akil-wakil MIC yang dipilih iaitu tujuh anggota Parlimen dan 15 anggota dewan undangan negerinya.
"Mereka adalah wakil tunggal kaum India. Sejarah akan menghakimi kita di atas perkhidmatan kita kepada masyarakat dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.