Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

malaysiakini.com Menuntut Janji Mahathir

laporan Penuh : malaysiakini

2pm, ISN: Sebuah laman web malaysiakini menuntut janji Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad untuk tidak menapis bahan-bahan dalam Internet, menurut laporan sebuah majalah mingguan rantau ini, Far Eastern Economic Review bertarikh 20 Januari. Menurut sebuah rencana yang ditulis wartawannya di sini S. Jayasankaran, "malaysiakini menggambarkan cabaran-cabaran dari Internet ke atas sebuah kerajaan yang sebelum ini sering mengawal penyebaran maklumat kepada orang ramai."

Laporan itu menjelaskan kebanyakan tapak web yang bercambah sejak penahanan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memperkenalkan diri, maka mustahil kerajaan boleh bertindak ke atas mereka. "Tetapi malaysiakini tidak begitu – malah pada lidah pengarangnya tertera nama penulis," sebut rencana itu yang bertajuk "Testing the Limits".

Bagaimanapun, tindakan untuk menyekat kebebasan laman web ini mungkin akan membangkitkan isu yang lebih besar, sebut laporan itu lagi. "Penganalisis sedang memerhatikan layanan kerajaan kepada malaysiakini sebagai lambang komitmen pihak berkuasa terhadap kebebasan bersuara di Internet dan Koridor Raya Multimedia."

Sambil menyifatkan tapak web ini sebagai "lantang dan berani," rencana itu menambah "Kuala Lumpur setakat ini tidak mempedulikan tapak web ini." "Media arus perdana bagaimanapun mula memetik berita-berita dari laman itu, walau hanya menyebut sumbernya dari ‘sebuah laman web di Internet’," tambahnya.

Malaysiakini, akhbar dalam talian yang pertama dibangunkan secara komersil di negara ini, dibiayai oleh beberapa pelabur tempatan termasuk pengarang Steven Gan dan penasihat perniagaannya Premesh Chandran. Laman web ini juga menerima modal awal sebanyak RM380,000 dari Perikatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa).

Seapa merupakan sebuah gabungan organisasi wartawan yang baru dibentuk dari tiga negara yang mengamalkan "kebebasan akhbar," Thailand, Indonesia dan Filipina. Anggota-anggota gabungannya termasuklah Gabungan Wartawan Bebas, Institut Kajian Aliran Bebas Maklumat, Pusat Kebebasan dan Tanggungjawab Media (Indonesia), Pusat Kewartawanan Penyiasatan Filipina dan Persatuan Wartawan Thailand.

Keluaran terbaru FEER itu kini berada di pasaran di seluruh negara.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com