PASIR PUTEH, 4 Jan - Kerajaan negeri Kelantan bercadang mewajibkan setiap papan iklan premis perniagaan di negeri ini menggunakan tulisan jawi di samping tulisan lain, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Sains dan Teknologi Negeri, Ahmad Yakub.
Beliau berkata sebagai permulaan, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) bulan ini bagi tujuan itu.
"Bagaimanapun, penguatkuasaannya tidak akan diadakan dalam jangka masa yang pendek dan kemungkinan diberi tempoh lima tahun kepada premis sedia ada menggunakan tulisan itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya di Bukit Yong, di sini, sempena menyambut Hari Raya Aidil Fitri.
Ahmad berkata bagi premis yang baru memulakan perniagaan, mereka akan diminta menggunakan tulisan itu serta merta pada sebelah atas papan iklan. Beliau berkata cadangan itu bertujuan menghidupkan budaya Melayu lama dengan pelbagai tulisan jawi cantik yang kini semakin dilupakan oleh generasi moden.
Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri bercadang memindahkan penduduk yang tinggal di Jalan Hamzah, di sini bagi membolehkan Perbadanan Kemajuan Ikhtisad Negeri Kelantan (PKINK) membina rangkaian pusat membeli belah di kawasan itu.
Beliau berkata penduduk itu akan ditawarkan menduduki kawasan perumahan kos rendah yang akan dibina di Wakaf Che Yeh, berhampiran pasar tani yang ada sekarang.
Bank Negara Malaysia sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk membina projek perumahan itu yang pembinaannya dijangka bermula bulan depan, katanya.
Beliau berkata dengan adanya projek itu, kerajaan negeri dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi di kawasan itu terutamanya kepadatan penduduk.
Katanya kerajaan negeri tidak akan memaksa mereka menduduki projek perumahan itu dan pemindahannya tidak akan dilakukan secara terburu-buru sebelum projek perumahan siap dibina dalam tempoh setahun.