KUALA LUMPUR, 21 Jan (Hrkh) - Satu jawatankuasa bertindak menangani isu kebebasan media di negara ini akan dibentuk tidak lama lagi, kata Ahmad Lutfi Othman Bekas Ketua Editor Majalah Detik Pengarang Penyelaras Majalah Al-Wasilah.
Menurutnya, jawatankuasa itu, antara lain ia akan memberikan respons segera terhadap beberapa kes pencabulan terhadap kebebasan media yang begitu menjolok mata mutakhir ini.
Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas akhbar Harakah, tidak menyambung permit penerbitan majalah dua kali sebulan, Detik serta memberikan amaran untuk membatalkan permit Harakah dan Wasilah.
Sebelum itu KDN telah menghantar peringatan kepada Detik, Eksklusif dan Tamadun kerana menyiarkan terlalu banyak tulisan yang memihak kepada pembangkang.
Lutfi berkata, jawatankuasa ini akan mengumpulkan wartawan prihatin dalam negara ini bagi merumuskan tindakan segera, khususnya menimbulkan kesedaran lebih meluas di kalangan rakyat tentang perlu kongkongan terhadap media di Malaysia dimusnahkan.
"Sudah begitu lama undang-undang warisan penjajah, misalnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dimansuhkan segera," katanya.
" Kita perlukan satu reformasi menyeluruh bagi membebaskan industri media di negara ini yang selama ini sisa-sisa kebebasan yang ada tidak lebih daripada suatu ehsan pemerintah, yang boleh diberi dan diambil bila-bila masa menurut selera mereka," tambahnya.
Beliau juga mendesak permit penerbitan diberikan kepada sesiapa saja yang berminat, sepertimana permohonan mendaftarkan syarikat perniagaan.
Malaysia sudah terlalu banyak akta untuk melindungi sesiapa saja daripada melakukan kegiatan jenayah, misalnya memfitnah, menghasut, mengadu-domba dan seumpamanya melalui media, jelasnya.
Beliau berharap jawatankuasa bertindak itu berjaya mengumpulkan wartawan dan bekas wartawan prihatrin yang masih merindui kebebasan media dipulangkan ke tempatnya yang asal.
"Amat memalukan sekali, sebuah parti pemerintah seumpama BN, yang berjaya mengekalkan kemenangan selesa majoriti dua pertiga tiba-tiba menjadi penakut dan bertindak bacul menghadapi segelintir kecil syarikat-syarikat penerbitan yang rata-ratanya begitu daif dan kerdil, " tambahnya lagi
Dipetik Daripada HARAKAH DAILY