Satu jawatankuasa bertindak menangani isu kebebasan media di negara ini akan dibentuk tidak lama lagi. Antara lain ia akan memberikan respons segera terhadap beberapa kes pencabulan terhadap kebebasan media yang begitu menjolok mata mutakhir ini, misalnya tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas akhbar Harakah, tidak menyambung permit penerbitan majalah dua kali sebulan – Detik, memberikan amaran untuk membatalkan permit Harakah dan Wasilah. Sebelum itu KDN telah menghantar peringatan kepada Detik, Eksklusif dan Tamadun kerana menyiarkan terlalu banyak tulisan yang memihak kepada pembangkang.
Jawatankuasa ini akan mengumpulkan wartawan prihatin dalam negara ini bagi merumuskan tindakan segera, khususnya menimbulkan kesedaran lebih meluas di kalangan rakyat tentang peripentingnya belenggu dan kongkongan terhadap media di Malaysia dimusnahkan. Sudah begitu lama undang-undang warisan penjajah, misalnya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dimansuhkan segera. Kita perlukan satu reformasi menyeluruh bagi membebaskan industri media di negara ini yang selama ini sisa-sisa kebebasan yang ada tidak lebih daripada suatu ehsan pemerintah, yang boleh diberi dan diambil bila-bila masa menurut selera mereka.
Sewajarnya kita langsung tidak memerlukan peraturan kuku-besi yang mensyaratkan setiap bahan bercetak harus mendapat permit penerbitan terlebih dahulu. Kita mendesak permit penerbitan diberikan kepada sesiapa saja yang berminat, sepertimana kita memohon untuk mendaftarkan syarikat perniagaan. Malaysia sudah terlalu banyak akta untuk melindungi sesiapa saja daripada melakukan kegiatan jenayah, misalnya memfitnah, menghasut, mengadu-domba dan seumpamanya melalui media.
Diharap jawatankuasa bertindak ini berjaya mengumpulkan wartawan dan bekas wartawan prihatrin yang masih merindui kebebasan media dipulangkan ke tempatnya yang asal. Amat memalukan sekali, sebuah parti pemerintah seumpama BN, yang berjaya mengekalkan kemenangan selesa majoriti dua pertiga tiba-tiba menjadi penakut dan bertindak bacul menghadapi segelintir kecil syarikat-syarikat penerbitan yang rata-ratanya begitu daif dan kerdil.
Saya amat yakin, tuntutan reformasi, khususnya dari segi media, tidak mudah untuk dimatikan, malah ia semakin membara dan menyala.
Ahmad Lutfi Othman
Bekas Ketua Editor Majalah Detik
Pengarang Penyelaras Majalah Al-Wasilah