Memastikan keberkesanan peranan Ahli Parlimen

PAS WUJUD SISTEM KABINET

Oleh MAZLAN JUSOH

KOTA BHARU: Mandat yang diberi rakyat pada pilihan raya umum lalu akan dimanfaatkan oleh PAS bagi memberi perkhidmatan sebaik mungkin dengan mewujudkan tugasan baru bagi setiap ahli Parlimennya.

Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor berkata, seramai 27 anggota Parlimen PAS akan dipertanggungjawab bagi mengawasi setiap kementerian di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Melalui kaedah tersebut ia diharap dapat meningkatkan kewibawaan wakil-wakil rakyat PAS dan mengangkat imej parti," katanya pada seminar Ahli-Ahli Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri PAS di sini, Khamis lalu.

Hampir 27 anggota Parlimen dan 97 Adun PAS dari seluruh negara menghadiri seminar sehari itu.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang ketika mengulas mengenai perkara itu berkata, PAS wajar melakukannya bagi membolehkan wakil-wakil rakyat berperanan secara lebih berkesan.

Katanya, melalui peranan itu, setiap ahli Parlimen PAS akan bertanggungjawab secara lebih serius bagi setiap kementerian yang dipertanggungjawab.

"Bagaimanapun dengan pembahagian tugas itu tidak bermakna wakil-wakil Parlimen tidak boleh bercakap mengenai isu yang lebih global iaitu mencakupi pelbagai isu," katanya.

Bekas Timbalan Setiausaha Dewan Rakyat, Haji Salleh Abu Bakar berkata, wakil-wakil rakyat hendaklah sentiasa melakukan 'homework' dan mengunjungi perpustakaan Parlimen untuk mendapatkan sesuatu bahan.

Katanya, mereka juga perlu mengadakan hubungan yang lebih rapat dengan pegawai-pegawai yang bertugas di bahagian Parlimen untuk memudahkan urusan mereka.

Senarai penuh wakil-wakil rakyat yang bertanggungjawab menjaga Kementerian diumumkan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa. Mereka yang ditugaskan adalah:-

  • Jabatan Perdana Menteri - Dato' Haji Fadzil Mohd Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ustaz Taib Azamuddin, Haji Yusof Nor dan Ustaz Nasharudin Mat Isa.
  • Kementerian Dalam Negeri - Haji Muhamad Sabu (Kuala Kedah).
  • Kementerian Kewangan - Haji Mustafa Ali (Dungun).
  • Kementerian Luar Negeri - Dr Syed Azman Syed Ahmad (Kuala Terengganu).
  • Kementerian Pendidikan - Dato' Dr Hasan Ali (Parit Buntar).
  • Kementerian Pengangkutan - Haji Ghani Ambak (Setiu)
  • Kementerian Kerjaraya - Nasir Daud (Kuala Krai).
  • Kementerian Perusahaan Utama - Ustaz Ismail Nuh (Pasir Mas).
  • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri - Haji Apandi Mohamad (Tanah Merah).
  • Kementerian Pertahanan - Mohd Shukrimun Samsudin (Kuala Nerus).
  • Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia - Wan Nik Wan Yusof (Bachok).
  • Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi - Ustaz Alwi Jusoh (Pasir Putih).
  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna - Muhyiddin Abdul Rashid (Hulu Terengganu).
  • Kem. Belia dan Sukan - Haji Mahfuz Omar (Pokok Sena).
  • Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan - Prof. Emiritus Shahnon Ahmad (Sik).
  • Kementerian Penerangan - Dato' Kamaruddin Jaffar (Tumpat).
  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan - Ustaz Mohd Amar Abdullah (Pengkalan Chepa).
  • Kementerian Pembangunan Usahawan - Zawawi Haji Ahmad (Padang Terap).
  • Kementerian Luar Bandar - Haji Husam Musa (Kubang Kerian).
  • Kementerian Pertanian - Haji Abdul Fatah Harun (Rantau Panjang).
  • Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat - Basir Rahmat (Parit).

 

Dipetik daripada HARAKAH