Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kadir jasin Letak Jawatan

R. Mageswari and Ng Boon Hooi

Laporan Penuh : www.malaysiakini.com

4pm, RABU: Datuk Abdul Kadir Jasin, Ketua Pengarang kumpulan News Straits Times Press dilaporkan telah melepaskan jawatannya. Beberapa minggu lalu, cerita tentang perubahan besar pengurusan peringkat atasan kumpulan media terbesar yang dikaitkan dengan Umno itu dan akhbar-akhbar harian di bawahnya, Berita Harian, Harian Metro dan Malay Mail mula tersebar.

Seorang setiausaha di pejabat Kadir yang tidak mahu dikenali memberitahu malaysiakini bahawa ketuanya kini mengambil cuti panjang selama enam bulan mulai minggu ini. Beliau bagaimanapun tidak bersedia mengesahkan perletakan jawatan tokoh media yang berpengaruh itu.

Akhbar Straits Times di Singapura hari ini melaporkan pentadbiran New Straits Times buat sementara waktu akan dikendalikan oleh satu jawatankuasa pengarang kanan yang diketuai oleh seorang wartawan veteran Mazlan Nordin.

Bagaimanapun, Nordin menafikan terbabit dalam jawatankuasa itu. "Saya tidak tahu apa-apa pun tentang jawatankuasa itu," katanya kepada malaysiakini, merujuk laporan Straits Times tersebut. Beliau menegaskan bahawa beliau merupakan seorang pengarang perunding dan tidak terbabit dalam perubahan yang sedang berlaku di kumpulan akhbar itu. Beliau juga tidak bersedia mengesahkan perletakan jawatan Kadir.

Menurut laporan akhbar Singapura itu, perubahan mendadak itu sebagai satu usaha menyalahkan pihak tertentu selepas Umno yang sering dikaitkan mengawal kepentingan kumpulan akhbar tersebut mengalami ketewasan terburuk dalam pilihanraya umum 29 November lalu.

Parti utama dalam Barisan Nasional pimpinan Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad itu mendapat 72 kerusi daripada 94 kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya sebelumnya. Parti itu juga kehilangan Terengganu ke tangan PAS dan gagal menawan kembali Kelantan.

"Selepas pilihanraya umum November lalu, tersebar cerita di kalangan pemimpin Umno bahawa NST dan akhbar-akhbar dalam kumpulan itu tidak berkesan menjelaskan isu-isu menjelang hari pengundian," laporan itu dipetik.

Menurut Sasterawan Negara Profesor Shahnon Ahmad, penarikan diri Kadir dari kumpulan penerbitan tertua di negara ini mempunyai motif politik. Beliau berkata kolum mingguan Kadir, "Other Thots", gagal memulihkan imej Umno setelah diketepikan pembaca kerana dianggap sebagai alat propaganda murahan ketua kumpulan media itu untuk menjaga imej Mahathir dan ahli-ahli politik.

"Kolumnya dilihat terlebih-lebih dalam usahanya memulihkan imej kerajaan, khususnya Mahathir sehingga menimbulkan perasaan meluat dan marah masyarakat Melayu, yang akhirnya mengundi menentang Umno," kata Shahnon, pengarang buku kontroversi Shit dan kini seorang wakil rakyat PAS.

Pengerusi DAP Lim Kit Siang menyifatkan kejatuhan ketua media itu sebagai "mangsa terakhir kawalan media yang tidak demokratik di bawah Mahathir." Beliau berkata nasib Kadir berakhir apabila akhbar itu menyokong pendapat agar wujud pertandingan sekurang-kurangnya di peringkat timbalan presiden dalam pertandingan Umno akan datang.

"Tindakan itu mungkin zalim tetapi apabila memikirkan, bahawa seseorang yang bermain dengan pedang akan mati di hujung pedang - kecuali Kadir masih lagi mampu hidup dengan selesa," katanya.

Majlis Tertinggi Umno meluluskan cadangan agar dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dan mencalonkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai timbalan presiden. Sebilangan rencana yang diterbitkan NST sebagai menjawab keputusan MT itu dilaporkan menimbulkan kemarahan pemimpin-pemimpin kanan Umno.

Kadir, selama 14 tahun berkuasa di NST sebelum ini, kini dipersalahkan kerana membenarkan sebuah rencana yang begitu kritis diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris itu. Rencana "Second opinion: Why deputy presidency must be contested" (Pendapat kedua: Mengapa jawatan timbalan presiden mesti dipertandingkan) yang ditulis Askiah Adam pada 8 Januari lalu, menuduh MT mengutamakan kepentingan diri sendiri dengan membelakangkan kepentingan bangsa. Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai "tidak lebih daripada satu pengabaian amanah", pendapat itu mengecam usul tersebut sebagai menyekat demokrasi dalam parti demi perpaduan.

Ahmad Lutfi, editor majalah politik yang sedang digantung permitnya Detik, berkata pemecatan Kadir menunjukkan bahawa wartawan akan terus ditekan apabila mereka tidak rela mengikut rentak kerajaan. Beliau juga berkata pemecatan Kadir tidak mengejutkan kerana selama ini sentiasa ada perubahan dalam pengurusan tertinggi media utama prokerajaan itu seperti perubahan yang dialami oleh sekutu-sekutu bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dua tahun lalu. Seorang daripadanya Datuk Ahmad Nazri Abdullah meletakkan jawatannya sebagai Pengarang Berita Harian.

Kadir, selepas itu mengetuai kumpulan media tersebut, menghadapi tugas berat meningkatkan semula kajatuhan jualan NST, Malay Mail dan Berita Harian. Kejatuhan itu, selepas pemecatan dan penahanan Anwar, dikaitkan dengan kemarahan orang ramai terhadap kerajaan dan menyifatkan media arus perdana mengamalkan laporan berat sebelah. Akhbar-akhbar harian mengalami kejatuhan jualan di saat Harakah, sebuah akhbar milik PAS, meningkat mendadak dari 75,000 kepada 300,000, memudahkan parti itu menyampaikan mesejnya kepada khalayak yang lebih besar.

Kadir tidak dapat dihubungi untuk penjelasan lanjut.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com