Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Fungsi Institusi Ketua Kampung di Terengganu Diubahsuai

KUALA TERENGGANU, 26 Jan - Kerajaan Pas Terengganu tidak berhasrat memecat mana-mana ketua kampung di negeri ini sebaliknya akan membuat beberapa perubahan mengenai fungsi institusi itu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri Wan Abdul Mutalib Embong berkata fungsi ketua kampung yang ada sekarang masih seperti biasa sehingga tarikh pelantikan baru dibuat pada akhir bulan depan.

"Tidak timbul soal mereka (ketua kampung) dipecat kerana kita hanya mahu supaya institusi itu dapat menjalankan peranan dengan lebih baik untuk kepentingan masyarakat di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat mingguan Exco negeri di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri memberi jaminan bahawa semua ketua kampung yang ada sekarang akan dikekalkan sekiranya mereka layak kecuali jika mereka menolak jawatan yang ditawarkan itu.

Menurutnya penyusunan semula struktur ketua kampung yang secara automatik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Majlis Syura Rakyat (JMSR) bagi menggantikan fungsi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang akan dimansuhkan hendaklah memenuhi beberapa syarat baru yang telah ditetapkan.

Namun begitu ketua kampung tidak dibenar untuk memegang jawatan lain seperti imam atau bilal dan pengerusi masjid bagi mengelakkan berlakunya sebarang pertindihan jawatan, katanya.

Selain itu, syarat untuk menjadi ketua kampung ialah mereka mesti berusia antara 40 dan 65 tahun, berkelulusan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia atau empat sanawi atau setaranya, kata beliau.

Menurutnya pegawai daerah kini dalam proses menerima senarai nama ketua kampung yang layak untuk dikemukakan kepada Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang sebelum pelantikan dibuat.

Beliau berkata kerajaan negeri juga bersetuju menaikkan elaun ketua kampung sehingga RM200 sebulan berbanding RM180 sebulan sebelum ini di samping kemungkinan menambah jumlah yang ada sekarang termasuk melantik di kalangan yang bukan Islam.

"Di kawasan yang ramai penduduk Cina, kita akan melantik ketua kampung di kalangan mereka dengan memenuhi syarat-syarat tertentu termasuk tidak melakukan kesalahan jenayah," katanya.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com