Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

KARPAL MINTA KESNYA DIBICARAKAN DI MAHKAMAH TINGGI

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Timbalan Pengerusi DAP Karpal Singh, yang didakwa hari ini mengikut Akta Hasutan, berkata beliau mahu kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan bukannya di Mahkamah Sesyen.

Katanya, ini kerana mungkin inilah kali pertama di negara-negara Komanwel seorang peguam didakwa atas apa yang disebutnya di mahkamah.

"Memandangkan kepentingan kes ini, ia akan memberi kesan ke atas keseluruhan profesion undang-undang di negara ini," katanya.

Di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, Christopher Fernando, salah seorang peguam yang membantu Karpal Singh dalam kesnya, berkata, Karpal Singh akan membuat permohonan berhubung ketahanan pertuduhan ke atasnya.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil kemudian menetapkan 26 Feb untuk mendengar kes selepas Karpal memberitahunya bahawa beliau akan memohon untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwaraya, Mohd Zaki Md Yassin memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menerima arahan untuk memindah kes Karpal ke Mahkamah Tinggi.

Karpal didakwa menuduh "orang di peringkat atasan" mencuba meracun bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mewakili Anwar di perbicaraan liwatnya pada 10 Sept tahun lalu.

Karpal mengaku tidak bersalah melakukan kesalahan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada kira-kira 9.10 pagi pada 10 Sept tahun lepas.

Beliau didakwa telah menyebut kata-kata menghasut semasa berhujah mengenai isu keracunan arsenik membabitkan Anwar, iaitu: "Mungkin ada seseorang yang mahu menghapuskannya...malah sehingga ke tahap membunuh", dan "Saya mengesyaki bahawa beberapa orang di peringkat atasan bertanggungjawab bagi perkara itu."

Karpal berkata beliau mahu kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi kerana dari situ, ia boleh dibawa sehingga ke mahkamah tertinggi di negara ini iaitu Mahkamah Persekutuan.

"Saya fikir, Mahkamah Persekutuan mesti membuat pendirian untuk membuat keputusan tetap sama ada seorang peguam yang sedang menjalankan tugasnya di mahkamah undang-undang boleh didakwa atas apa sahaja yang disebutnya di mahkamah," tambah beliau.

"Dibawah Seksyen 418A Kod Prosedur Jenayah, Peguam Negara boleh minta memindahkan kes sebegini ke Mahkamah Tinggi melalui sijil," tambahnya.




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com