MELAKA, - DAP telah menubuhkan jawatankuasa "Sokong Karpal Singh, Mendukung Kedaulatan Undang-undang" bagi mempertahan undang-undang dan mengecam tindakan pendakwaan terhadap Timbalan Pengerusi DAP itu.
Naib Pengerusi DAP Lim Guan Eng, yang mengetuai jawatankuasa itu berkata "pendakwaan secara berpilih" terhadap pemimpin pembangkang seperti Karpal Singh, Naib Presiden Parti Keadilan Nasional (Keadilan) Marina Yusof, Ketua Pemuda Keadilan Mohamed Ezam Mohamed Nor adalah bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara dan mengeluar pendapat yang mendasari hak asasi manusia.
"Malahan penahanan Karpal Singh melibatkan satu lagi prinsip penting iaitu sama ada seseorang peguam boleh didakwa berkaitan tindakannya ketika menjalankan tugas di mahkamah," katanya pada persidangan berita di sini.
Karpal Singh dan Marina telah didakwa mengikut Akta Hasutan manakala Mohamed Ezam, mengikut Akta Rahsia Rasmi.
Lim berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi seharusnya bersikap lebih positif terhadap kritikan antarabangsa dan bukan mengambil pendekatan tidak campur tangan dengan memberitahu negara lain agar tidak mencampuri urusan dalaman Malaysia.