KUALA LUMPUR, 30 Dis - Pengurusan akhbar tabloid Harakah, lidah rasmi parti Pas, memutuskan bahawa akhbar itu akan dijual melalui pejabatnya dan markas parti itu sahaja dan melalui langganan secara langsung di Ibu Pejabat akhbar itu atau melalui pengedar di seluruh negara.
Pengarah urusan Harakah, Datuk Hishamudin Yahya hari ini berkata keputusan itu dicapai oleh pihak pengurusan yang mengadakan mesyuaratnya dengan hampir kesemua pengedar utama Harakah di Markas Tarbiyah Pas di Taman Melawar pada Selasa lepas.
"Harakah akan mematuhi syarat Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar akhbar itu dijual melalui pejabat serta markas Pas sahaja," katanya dalam satu kenyataan.
Mesyuarat itu diadakan berikutan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan KDN untuk mengambil tindakan terhadap pengurusan Harakah yang sebelum ini membenarkan tabloid itu dijual secara terbuka kepada orang awam.
Khamis lepas, KDN mengambil tindakan merampas 2,630 naskhah tabloid itu kerana dijual secara berleluasa dan terbuka di Lembah Klang.
Hishamudin berkata pihak pengurusan juga akan memohon kepada KDN masa selama dua bulan untuk membolehkan sistem (penjualan Harakah) ini beroperasi sepenuhnya.
Katanya, semua pengedar, kakitangan tabloid itu serta pembacanya diminta mengadakan solat hajat untuk keselamatan Harakah.
Menurutnya, Harakah tidak pernah sebelum ini melanggar sebarang syarat yang dikenakan oleh KDN kecuali arahan yang terakhir ini yang agak lewat dilaksanakan.
"Kelewatan ini adalah kerana ketidakyakinan kami bahawa sistem ini akan dikekalkan oleh KDN atau selepas sistem ini kami laksanakan akan datang lagi peraturan baru yang membatalkan sistem ini," katanya.
Beliau berkata sebelum ini KDN telah mengarahkan agar Harakah dijual di atas rak yang tersendiri yang ditulis "Harakah-Untuk Ahli Pas Sahaja."
Beliau juga meminta semua pembaca Harakah bersabar sehinggalah cara baru pengedaran itu dapat dilaksanakan sepenuhnya. Buat sementara bolehlah mereka melanggannya terus dari ibu pejabat Harakah atau pengedar di seluruh negara.