Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGUNG keADILan

KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGUNG keADILan 15 JANUARI 2000

Parti Keadilan Nasional (keADILan) amat terkejut dan prihatin dengan penahanan Puan Hj. Marina Yusoff berikutan ucapan beliau di Pulau Pinang sehari sebelum Pilihanraya Umum ke 10 baru-baru ini dan demikian juga dengan penangkapan Sdr. Mohamad Ezam M. Nor di bawah Akta Rahsia Rasmi berikutan pendedahan beliau berhubung rasuah sebelum ini.

Demikian juga dengan penangkapan ke atas Sdr. Karpal Singh dari Parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP) serta Sdr. Zulkifli Sulong, Ketua Pengarang Harakah baru-baru ini, amat mengejut dan membimbangkan.

Kebimbangan kami di atas tindakan-tindakan ini ialah kerana ianya berlaku ketika UMNO sedang menghadapi krisis dalaman berikutan daripada pemilihan seluruh peringkat parti tersebut tidak lama lagi.

Sejarah telah menunjukkan apabila UMNO sentiasa mencari "kambing hitam" dan "mangsa lain" setiap kali mereka menghadapi masalah dalaman. Satu contoh klasik permainan pucuk pimpinan UMNO ialah Operasi Lalang yang dilancarkan ketika Tengku Razaleigh Hamzah menentang Dato’ Seri Dr. Mahathir bagi merebut jawatan utama UMNO suatu ketika dahulu.

keADILan berpendapat bahawa tindakan-tindakan sebegini adalah menggugat sistem demokrasi dan keluhuran undang-undang serta nama baik negara.

Sesungguhnya keadaan ini mungkin juga menggugat pemulihan ekonomi negara dan menakut-nakutkan para pelabur asing yang mula menunjukkan minat terhadap pelaburan di negara kita.

keADILan ingin mengingatkan UMNO agar menghormati prinsip-prinsip demokrasi serta kepentingan umum rakyat dan negara daripada terus menjaga kepentingan peribadi, kumpulan dan juga dendam kesumat yang tidak berkesudahan. keADILan dengan ini sekali lagi menuntut agar UMNO memberhentikan tekanan-tekanan politik ke atas para pemimpin pembangkang dan belajar menghormati nilai-nilai tamadun serta hak kebebesan bersuara.

keADILan juga menuntut agar kerajaan UMNO segera menamatkan program menyuburkan "budaya takut" di kalangan rakyat Malaysia.

MOHD. ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com