KUALA TERENGGANU, - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) diberi kebenaran menjalankan kelas tadika di balai raya dan dewan orang ramai milik kerajaan negeri, kata Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata kebenaran itu diberi setelah kerajaan PAS Terengganu menerima permohonan daripada ketua pengarah Kemas agar kelas-kelas tadika Kemas dibuka.
"Kami sedia bekerjasama dengan Kemas kerana tanggungjawab pendidikan adalah tanggungjawab bersama," katanya pada persidangan berita di sini hari ini.
Isu kelas tadika kelolaan Kemas bermula apabila sebuah akhbar melaporkan bahawa kerajaan Pas Terengganu mengarahkan semua 787 balai raya dan dewan sivik di negeri ini yang digunakan sebagai tadika kelolaan Kemas dan Jabatan Perpaduan Negara (JPN) dikosongkan.
Menurut akhbar itu, kerajaan Pas Terengganu dalam surat bertarikh 28 Disember 1999 mengarahkan balai raya dan dewan orang ramai yang digunakan agensi berkenaan diserahkan balik bagi maksud kegunaan kerajaan negeri.
Abdul Hadi, yang menjelaskan laporan akhbar semalam, berkata kerajaan negeri sebenarnya belum membuat satu keputusan rasmi berhubung kedudukan balai-balai raya yang terdapat di seluruh negeri ini.
Beliau berkata perbincangan mengenai perkara itu kini dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri dengan Kemas dan sementara rundingan dijalankan, kelas-kelas tadika kelolaan Kemas itu akan berjalan seperti biasa.
"Kami ingin mewujudkan perpaduan di dalam masyarakat kampung melalui apa cara sahaja termasuk aktiviti pendidikan di peringkat pra sekolah," katanya.
Mengenai kakitangan Kemas di tadika-tadika berkenaan, Abdul Hadi berkata perkara itu juga akan dirundingkan dan ia bergantung kepada keputusan Kemas kerana perkara itu adalah di bawah kerajaan persekutuan.
Beliau berkata tuduhan sesetengah pihak bahawa PAS mempolitikkan perkara itu adalah tidak betul kerana PAS sentiasa memberi penekanan dari segi masalah pendidikan.
Ketika ditanya mengenai Pusat Tunas Islam (Pasti), kelas tadika anjuran PAS, Abdul Hadi berkata Pasti akan diteruskan seperti biasa dan mereka sudah mempunyai bangunan sendiri.
Kira-kira 16,000 murid tadika kelolaan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negeri ini menghadiri kelas seperti biasa hari ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Kamalul Ariffin Abdul Rahim.
Beliau berkata tinjauan yang dibuat di tiga kampung iaitu Teluk Ketapang, Seberang Takir dan Gong Sentul -- kesemuanya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Seberang Takir menunjukkan semua tadika di kawasan berkenaan berjalan seperti biasa.
"Saya pun dah melawat dua tiga (kelas tadika) macam biasa...kita akan terus di tempat yang sama," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Haji Abdul Hadi Awang di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Sebuah akhbar harian semalam melaporkan bahawa kerajaan Pas telah mengarahkan agar semua balai raya dan dewan sivik di seluruh negeri yang dijadikan kelas tadika Kemas dikosongkan.
Menurut laporan akhbar berkenaan, surat mengenai arahan itu dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang ditandatangani Timbalan SUK (Pentadbiran), Muhatar Abdullah.
Kemas menjalankan kelas tadika di 336 balai raya dan di 259 bangunan milik Kemas di negeri itu.
Kamalul berkata tidak timbul soal kerajaan Pas Terengganu meminta semua balai raya dan dewan sivik yang digunakan untuk kelas tadika berkenaan ditutup atau dikosongkan.
Beliau berkata perkara itu bukannya satu masalah dan tidak timbul sebarang isu kerana apa yang sebenarnya berlaku ialah kerajaan negeri meminta Kemas mengemukakan surat memohon kebenaran bagi menggunakan bangunan milik kerajaan negeri itu.
"Ini proses biasa...bila kerajaan baru kita kena minta kebenaran dan selepas ini ia akan berjalan macam biasa...tak ada masalah," katanya.
Beliau berkata surat memohon kebenaran menggunakan bangunan milik kerajaan negeri untuk kelas-kelas Kemas itu dihantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Hashim Khamis lepas dengan salinan kepada semua pegawai daerah.
Dalam perbincangan dengan SUK hari ini juga, kerajaan negeri tidak mengenakan syarat-syarat baru bagi membenarkan kelas tadika berkenaan diteruskan, katanya.
Ketika ditanya mengenai terdapatnya kelas tadika Kemas yang telah dikosongkan selepas menerima surat daripada kerajaan negeri, beliau berkata sehingga kini, pihaknya belum menerima laporan mengenai perkara itu.