Media tutup berita persefahaman DAP-PAS

Ajinder Kaur

7pm, ISN: Pengerusi DAP, Lim Kit Siang mengecam media arus rasmi kerana tidak melaporkan persefahaman antara parti itu dengan sekutunya dalam Barisan Alternatif, PAS, berhubung isu kharaj minggu lepas, tetapi sebaliknya media terus menimbulkan berita-berita negatif mengenai cukai tanah ke atas orang bukan Islam.

"Media massa sengaja tidak melaporkan berita mengenai persefahaman bermakna yang dicapai antara DAP dengan PAS bahawa kharaj tidak akan diperkenalkan tanpa mengambil kira pandangan kaum bukan Islam," jelasnya.

Beliau secara khusus merujuk The Star dalam kritikannya. Menurut Lim, akhbar harian berbahasa Inggeris yang paling tinggi edarannya itu melaporkan "Non-Muslim body objects to kharaj proposal" (pertubuhan bukan Islam membantah kharaj) pada 16 Disember dan "Kharaj will scare investors" (kharaj akan menakutkan pelabur) pada 18 Disember, hanya beberapa hari selepas pertemuan PAS-DAP yang dianggap bermakna itu.

Minggu lepas, DAP menghantar satu rombongan sembilan anggota ke Terengganu dan Kelantan untuk berbincang dengan pemimpin-pemimpin PAS negeri. Kit Siang pada Jumaat lalu melaporkan, hasil pertemuan tersebut, beberapa kejayaan telah dicapai dalam beberapa isu utama.

Sambil memetik pandangan Menteri Besar Terengganu, Abdul Hadi Awang, Kit Siang berkata, "Hadi memberi jaminan bahawa kerajaan negeri pimpinan PAS akan menghormati sepenuhnya hak-hak dan perasaan kaum bukan Islam dan juga mengutamakan prinsip ‘syura rakyat' dalam semua dasar yang bakal diperkenalkan, bukan hanya isu kharaj, jika sekiranya ia melibatkan kepentingan kaum dan agama lain."

"Pemimpin-pemimpin DAP mendapati perbincangan dengan Hadi dan Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz dan pemimpin-pemimpin PAS lain sungguh berjaya dan produktif," tambahnya.

Mengenai usaha PAS meminda perlembagaan negeri agar kerajaan dapat melantik wakil kaum-kaum minoriti di dua buah negeri itu, Kit Siang berkata partinya mengalu-alukan sikap terbuka Hadi dan Nik Aziz dalam hal itu.