KETENGAH TERUSKAN SEMUA PROGRAM PEMBANGUNAN DI TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 31 Dis - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan meneruskan semua projek dan program pembangunan yang dirancang, termasuk pembangunan di Tasik Kenyir.

Pengurus Besar Ketengah, Alwi Said berkata setakat ini belum ada projek pembangunan yang ditangguh atau dibatalkan.

"Mana-mana projek atau program yang dirancang oleh kerajaan (Barisan Nasional) dahulu akan diteruskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat lebih 100 projek dan program pembangunan yang dirancang dan sedang dilaksanakan oleh Ketengah dan kesemuanya adalah di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Alwi berkata untuk pembangunan Tasik Kenyir, Ketengah memperuntukkan RM19.3 juta pada tahun 2000 untuk membina pelbagai kemudahan infrastruktur dan usaha-usaha promosi serta penggalakan pelancongan termasuk menganjurkan pelbagai aktiviti yang boleh menarik pelancong.

Antara program yang dirancang dan akan dilaksanakan ialah pembinaan Pengkalan Utama, pembinaan Jalan Pengkalan Utama ke Sungai Tekak yang menghubungi Jalan Simpang Pulai/Kuala Berang dan pembinaan kawasan perkelahan, katanya.

Beliau berkata dengan pelbagai aktiviti dan kemudahan yang disediakan itu, Ketengah menjangka dapat menarik lebih 100,000 pelancong ke tasik buatan manusia itu tahun depan.

Alwi berkata peruntukan sebanyak RM42.4 juta telah diluluskan kepada Ketengah bagi meneruskan pembangunan di wilayahnya untuk tahun 2000 dan daripada jumlah itu RM32.1 juta adalah untuk belanja pembangunan manakala selebihnya bagi perbelanjaan mengurus.

Perbelanjaan untuk pembangunan yang diperuntukan bagi tahun depan itu bertambah berbanding RM28 juta yang diperuntukkan tahun ini, katanya.

Ketika ditanya mengenai pembatalan program Kenyir Ecofest yang sepatutnya berlangsung Jun lepas, beliau berkata ia dibuat berikutan kesuntukan masa dan sekiranya diteruskan program itu tidak akan mencapai matlamatnya.

"Kita cuba buat dalam tempoh yang singkat pada tahun 1997 dan hasilnya kita tak berpuashati dengan pencapaian itu," katanya.