Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan di atas kemenangan cemerlang Barisan Alternatif khususnya PAS dalam pilihanraya baru-baru ini. Kejayaan menawan Terengganu dan pengekalan kuasa di Kelantan amatlah menggembirakan kita, selain penembusan yang diperolehi di negeri Pahang, Kedah, Perak dan Perlis.
Dengan kemenangan ini juga bermakna pembangkang kini mempunyai 45 suara di Parlimen, termasuk 3 dari PBS di Sabah. Jumlah ini dikira agak kuat untuk menyuarakan apa-apa pandangan dan bangkangan kepada kerajaan Barisan Nasional di Dewan Rakyat. Ini memberi kesan yang amat bermakna terhadap kerajaan BN dalam tindak tanduknya yang menyeleweng daripada menjalankan amanah rakyat.
Selama ini kerajaan BN khususnya di bawah Dr Mahathir berlagak angkuh dan tidak mengendahkan pandangan pembangkang dalam meluluskan sesuatu rang undang-undang mahupun peraturan yang menjejaskan kepentingan rakyat. Penguasaan majoriti 2/3 mereka di dalam Dewan Rakyat membuatkan mereka merasakan boleh berbuat apa sahaja. Yang menjadi sasaran ialah pemimpin pembangkang dimana seringkali diejek dan ditertawakan oleh pemimpin-pemimpin BN ketika di dalam Dewan.
Suara pembangkang yang lemah sebelum pilihanraya 1999 itu menyebabkan sesuatu perkara yang dibangkitkan di Parlimen dipandang remeh oleh kerajaan BN. Misalnya Rang Undang-Undang Persendirian mengenai murtad yang dibawa oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah beberapa kali gagal dibahas dan diluluskan oleh Parlimen.
Fenomena atau gelagat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Parlimen BN (UMNO) itu sebenarnya membayangkan keangkuhan dan kebebalan mereka dalam meninggikan martabat agama Islam di negara ini. Pada mereka, soal murtad bukanlah perkara besar yang perlu diwar-warkan oleh PAS. Itulah hujah dangkal bersalut kejahilan yang diperlihatkan oleh wakil-wakil rakyat UMNO.
Saya percaya persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula tidak lama lagi akan lebih menarik dan hangat dengan kehadiran tokoh-tokoh berkaliber PAS seperti Dato’ Fadzil Noor, Mahfudz Omar, Nasharuddin Mat Isa, Ustaz Taib Azamuddin, Shahnon Ahmad, Dato Kamaruddin Jaafar, Haji Mustaffa Ali dan lain-lain. Ini ditambah lagi dengan kemunculan Datin Seri Wan Azizah, selain ahli-ahli Parlimen PAS sedia ada seperti Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu dan lain-lain. Kali ini boleh dikatakan hampir kesemua tokoh-tokoh utama PAS telah berjaya memasuki Dewan Rakyat berbanding dengan pilihanraya 1995 lalu. Kekuatan ini amatlah membanggakan kita semua.
Dengan kehadiran tokoh-tokoh utama PAS dan Keadilan ini, saya amat berharap agar mereka dapat membangkitkan suatu isu utama yang teramat penting, yang telah memporakperandakan sistem pemerintahan negara kita semenjak Mahathir menjadi Perdana Menteri 18 tahun lalu.
Perkara yang teramat penting itu ialah mengenai pengembalian prinsip Pengasingan Kuasa yang telah dicabuli sewenang-wenangnya oleh Mahathir semenjak beliau menjadi PM. Sistem Kerajaan Malaysia yang mengandungi tiga komponen utama iaitu badan perundangan (legislative), badan pemerintah (executive) dan badan kehakiman (judicial) telah hancur lebur di bawah pemerintahan Mahathir.
Segala kuasa bagi dua lagi badan itu telah dipusatkan kepada kuasa eksekutif sehingga menyebabkan sistem pentadbiran negara menjadi kucar kacir dan tidak dihormati lagi. Kes Dato Seri Anwar Ibrahim adalah contoh paling ketara dan jelas dimana badan kehakiman dan perundangan dilacurkan sebegitu rupa demi memuaskan kehendak nafsu kuasa eksekutif Mahathir. Selama ini tiada siapa pun yang berani menegur dan mempersoalkan kepincangan yang telah dilakukan Mahathir.
Beliau telah menjadi raja segala raja di negara ini. Semua kehendak nafsunya mesti dituruti. Mereka yang melawan akan menerima padahnya. Kes pemecatan Tun Salleh Abas dahulu juga suatu contoh ketara yang sangat berat dimana kuasa eksekutif boleh memecat kuasa judicial, yang sepatutnya mereka menjadi entiti yang berasingan. Di bawah Mahathir semuanya menjadi 3 dalam 1 seperti nescafe segera. Saya amat berharap dengan kehadiran seramai 45 suara pembangkang di Parlimen kali ini, mereka akan dapat memperjuangkan permasalahan ini dengan sekuat-kuatnya. Tekanan dan tantangan haruslah dipertingkatkan supaya prinsip pengasingan kuasa yang telah dicabuli dan diporakperandakan oleh Mahathir dapat dikembalikan kepada tapaknya yang asal.
Ini penting kerana sistem bekerajaan di negara ini sudah 2 dekad dinodai oleh kuasa eksekutif, menjadikan sistem badan kehakiman dan perundangan negara langsung tidak dihormati. Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara yang sepatutnya berkecuali dan bertindak berdasarkan entiti tersendiri kini terpaksa melutut dan menurut telunjuk Perdana Menteri. Segala tindak tanduk dan keputusan yang akan dan ingin dibuat perlu mendapat “kebenaran” Perdana Menteri terlebih dahulu. Kes DSAI boleh menjelaskan segala-galanya tentang perkara ini bilamana ketika sidang mahkamah sedang berlangsung, hakim terpaksa menelefon “pihak tertentu” untuk mendapatkan persetujuan sebelum memutuskan penghakimannya.
Kes Rahim Tambi Chik, Rafidah Aziz dan Daim Zainuddin adalah contoh-contoh signifikan yang menjelaskan kehancuran sistem badan perundangan dan kehakiman di negara ini. Pihak Peguam Negara yang sudah mempunyai cukup bukti prima facie pun terpaksa meminta ‘kebenaran’ pihak eksekutif terlebih dahulu untuk mengambil apa-apa tindakan. Jika tidak dibenarkan maka akan terperap menjadi pekasamlah kes-kes berkenaan dan orang yang bersalah dibiarkan terlepas bebas. Maka wujudlah apa yang dinamakan pendakwaan terpilih. Bila pihak eksekutif “membela” orang-orang yang bersalah, maka apalah yang boleh kita harapkan untuk mempercayai integriti badan kehakiman dan perundangan kita.
Sebab itulah saya benar-benar berharap agar jaguh-jaguh ternama PAS yang akan memasuki Parlimen tidak lama lagi memperjuangakn perkara ini dengan sungguh-sungguh. Kita tidak boleh berterusan membiarkan Mahathir melakukan kerosakan kepada prinsip yang mulia itu sehingga tiada titik penamatnya. Prinsip pengasingan kuasa yang sebelum ini amat dijaga dan dihormati oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein Onn perlulah dikembalikan ke landasan asalnya.
Kita tidak mahu lagi melihat pihak eksekutif sewenang-wenangnya bermaharajalela berbuat itu dan ini semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi dan para kroni. Jika kita tidak mengambil langkah-langkah pemulihan dan kesedaran, perkara ini akan berlarutan sampai bila-bila atau pun sehinggalah Barisan Alternatif berjaya memerintah suatu hari nanti. Wakil-wakil PAS diharap memberikan perhatian yang serius mengenai perkara ini. SMYP, UKM.
Nota-Ini adalah pandangan daripada pembaca yang tidak semestinya melambangkan pandangan kami