Semasa sebelum pilihanraya yang lalu banyak saya dengar dari rakan-rakan yang kuat UMNO mengatakan kemenangan UMNO penting bagi menjaga survival orang-orang Melayu. Oleh itu tidak hairanlah mereka itu berhempas pulas untuk memenangkan BN untuk menjaga ketuanan Melayu terus terpelihara.
Mereka terpaksa mengenepikan pertikaian antara Mahathir dan Anwar terlebih dahulu, bagi mereka parti jauh lebih penting dari perkara individu. Memenangkan parti UMNO dalam pilihanraya lebih penting lagi daripada perkara untuk memenangkan individu Mahathir atau Anwar. Pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan sebelum pilihanraya telah ditunda kepada selepas pilihanraya agar UMNO berada dalam keadaan mantap untuk menghadapi pilihanraya. Kerana bagi mereka kemenangan dalam pilihanraya jauh lebih penting dari berebut jawatan dalam UMNO itu sendiri. Apalah ertinya dapat jawatan tinggi dalam UMNO tetapi kalah dalam pilihanraya.
Saya rasa bagi mereka yang taksub kepada satu-satu parti politik sahaja yang akan berfikiran begitu. Kalau ikut logiknya, kalau pun Barisan Alternatif yang menang dalam pilihanraya lepas sudah pasti orang Melayu jugalah yang menang kerana majoriti dalam gabungan BA itu adalah parti PAS yang juga adalah orang Melayu. Jadi saya tak nampak kuasa akan hilang dari tangan orang Melayu kalau BA yang menang.
Mungkin sebab parti PAS tidak menekankan atau tidak berminat dengan konsep ketuanan Melayu maka orang-orang yang kuat UMNO ini tidak mahu menyokong PAS dan mereka tidak percaya PAS boleh menjaga kepentingan orang-orang Melayu. Inilah fikiran sonsang yang telah tertanam dalam pemikiran mereka itu. Mereka itulah yang digelar sebagai 'karat biru' yang memang susah hendak berubah.
Saya tidak nampak ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO itu releven lagi masa kini. Sebenarnya slogan ketuanan Melayu ini hanya tinggal menjadi gimik politik UMNO sahaja dalam meraih sokongan orang-orang Melayu kepada UMNO, hakikatnya dapat kita lihat orang Melayu masih terpinggir dan ketinggalan di negara sendiri. Ketuanan Melayu yang saya nampak hanyalah ketuanan UMNO yang menjaga kepentingan diri pemimpin-pemimpin UMNO. Dengan kemenangan UMNO dapatlah pemimpin UMNO ini membuat sesuka hatinya termasuklah memperkayakan diri dan keluarga dengan kuasa yang ada pada mereka. Padahal pada masa yang sama orang-orang Melayu lainnya menghuni rumah-rumah setinggan, rumah-rumah kos rendah, kaki lepak, hanyut dalam maksiat, penagih dadah dan terlibat dalam banyak gejala sosial. Apakah ini semua di namakan ketuanan Melayu?
Sekarang pilihanraya telah selesai, UMNO menerusi BN telah dapat berkuasa semula. Masa inilah mereka hendak menilai semula siapakah pemimpin-pemimpin yang betul-betul mahu membela bangsa, agama dan negara yang menjadi slogan UMNO itu. Selepas pilihanraya ini nampaknya pemimpin dan orang-orang UMNO berasa selesa untuk melayan persaingan bagi jawatan kepimpinan dalam UMNO yang akan menentukan arah tuju UMNO pada alaf baru ini. Kita boleh nampak sekarang ini media elektronik dan akhbar perdana kian lebih terbuka bagi membincangkan rumahtangga UMNO dan masalah orang Melayu. Saya rasa perbincangan ini akan bertambah hangat menjelang pemilihan UMNO yang akan diadakan tidak berapa lama lagi. Apakah kepimpinan Mahathir masih diperlukan oleh UMNO setelah banyak tindakan-tindakan yang dibuatnya di akhir-akhir ini telah tidak menyenangkan orang-orang UMNO sendiri. Apakah Mahathir juga akan dipertanggungjawabkan ke atas kemerosotan undi orang Melayu kepada UMNO?
Mungkin dalam pemilihan UMNO kali ini faktor Anwar tidak akan menggugat Mahathir. Pengaruh Anwar telah pun dibenamkan oleh Mahathir dalam pilihanraya yang lepas. Ramai penyokong Anwar yang hilang sabar dengan karenah MAHAFIRAUN telahpun keluar dari parti itu, selain dari itu ramai juga yang dipecat sendiri oleh UMNO. Jadi UMNO kini hampir bersih dari penyokong Anwar dan tentunya tidak lagi menjadi ancaman kepada Mahathir dalam pemilihan akan datang ini. Kalau pun masih ada penyokong Anwar dalam UMNO mereka tidak akan berani untuk menonjolkan diri, dan dalam pemilihan UMNO nanti mungkin mereka akan memberi sokongan kepada pencabar Mahathir sebagai untuk mengajar Mahathir.
Kini kumpulan yang tinggal dalam UMNO yang boleh mencabar kedudukan Mahathir ialah kumpulan Ku Li yang dulunya dikenali sebagai Team B atau Semangat 46. Kalau Ku Li masih mempunyai dendam dengan Mahathir dan kalau Ku Li masih lagi menyimpan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia maka ada kemungkinan Ku Li tidak teragak-agak untuk mencabar Mahathir pada pemilihan UMNO kali ini. Ku Li sudah terlalu tua untuk menunggu lebih lama lagi, mungkin untuk bertanding jawatan timbalan presiden hanya perkara membuang masa saja baginya. Jika Ku Li boleh berpakat samada dengan Najib atau Pak Lah sudah tentu akan dapat memberi kekuatan dan kelebihan kepada Ku Li bagi mencabar Mahathir. Sama seperti Ku Li berpakat dengan Musa di satu masa dulu.
Dalam budaya politik UMNO, musuh dan kawan sukar untuk dikenal dan bukan merupakan suatu yang kekal. Kalau pun Ku Li ada berjanji tidak akan menentang Mahathir pada masa akan datang, janji dan sumpah bagi orang politik seperti mereka itu memang tidak boleh dipercaya. Bagi mereka janji dan sumpah politik tidak dikira berdosa, itulah jadinya kalau politik telah dianggap tidak ada sangkut paut dengan agama. Mahathir memang tidak pernah percaya Ku Li tidak akan menentangnya. Itulah sebabnya dari awal lagi Mahathir telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan itu.
Selain dari tidak memberikan jawatan menteri kabinet kepada Ku Li yang akan memberikan kelebihan kepada Ku Li untuk menonjolkan dirinya, Mahathir juga cuba rapat dengan Pak Lah dengan cara merestui beliau untuk jawatan timbalan presiden UMNO. Ini jelas dapat kita lihat di mana Najib telah ditukarkan dari kementerian pendidikan yang lebih wibawa kepada kementerian pertahanan. Pada fikiran Mahathir buat masa ini lebih baik rapat dengan Pak Lah daripada Najib. Pak Lah lebih ramai penyokong daripada Najib. Bekas ahli semangat 46 pun lebih senang dengan Pak Lah. MAHAFIRAUN beranggapan adalah bahaya baginya kalau Ku Li rapat dan bersepakat dengan Pak Lah. Oleh itu sebelum jadi apa-apa lebih baik dia (Mahathir) terlebih dulu berbaik dan rapat dengan Pak Lah dan memberi sokongan kepada Pak Lah untuk jawatan timbalan presiden. Nampaknya Pak Lah menjadi penentu penting dalam pemilihan UMNO kali ini. Wallahualam.