PAS berasa amat kecewa dengan berlakunya lagi peristiwa penangkapan beramai-ramai sebelas orang yang datang untuk menunjukkan sokongan mereka kepada aktivis politik termasuk Ketua Pemuda KeADILan, Ezam Mohd Nor, ADUN Hulu Klang YB Azmin Ali dan Kartunis Zunar dan 4 orang yang lain yang didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini. Kumpulan penyokong ini telah berhimpun dengan aman di hadapan mahkamah dan kemudian berkumpul di hadapan pejabat Majlis Peguam semasa semua yang dituduh berbincang dengan peguam-peguam mereka.
Langkah menangkap dengan kasar yang boleh membawa kecederaan adalah diluar batasan kemanusian. Sikap keterlaluan ini membayangkan bahawa pihak berkuasa tidak langsung belajar daripada peristiwa demonstrasi beberapa ketika dahulu yang telah menimbulkan kemarahan rakyat serta teguran daripada masyarakat antarabangsa. Kesan kemarahan ini telah diterjemahkan dalam bentuk penentangan rakyat terhadap Kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya yang lalu. PAS bimbang peristiwa terbaru ini akan menambahkah kebencian rakyat kepada parti pemerintah dan menimbulkan suasana tidak harmoni.
PAS menyedari bahawa tindakan terbaru ini adalah kerana mengikut telunjuk Menteri Dalam Negeri yang telah beberapa kali mengancam akan melakukan tindakan keras ke atas sesiapa saja yang dikira menentang pemerintah. PAS menuntut kesemua 11 orang yang ditahan itu dibebaskan tanpa syarat, dan Menteri Dalam Negeri meminta maaf kepada mangsa dan seterusnya mesti meyakinkan orang ramai tindakan seperti ini tidak akan berulang lagi.
DATO’ FADZIL MOHD. NOOR
Ketua Pembangkang.