Parlimen makin merosot - Lim Kit Siang

Fathi Aris Omar dan Ng Boon Hooi, wartawan malaysiakini.com
sumber http://www.malaysiakini.com/

Dec 22: Hari pertama sidang pertama Dewan Rakyat ke-10 sudah ‘kecoh.’ Ketua Pembangkang yang baru, Datuk Fadzil Noor bersama 42 lagi Ahli Parlimen melangkah keluar sebagai protes sebaik sahaja wakil-wakil rakyat Barisan Nasional mengangkat sumpah. Hanya selepas 90 minit kemudian, 43 wakil rakyat pembangkang itu masuk kembali ke dewan. Dewan Rakyat tidak lagi menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan, itu dakwaan mereka. LIM KIT SIANG, bekas Ketua Pembangkang selama 25 tahun, bermula 1974, bercakap tentang ‘apa yang silap di Parlimen kita?’

Bagaimana pengalaman Lim selama 25 tahun dalam Parlimen; misalnya dakwaan bahawa institusi itu hanya ‘rubber stamp’?
Memang, Parlimen dari dahulu lagi sudah merosot, sejak tahun 1970-an lagi. Masa itu ia sudah pun digelar ‘rubber-stamp’ atau tempat untuk meluluskan sahaja, bukan membahaskan sesuatu. Tetapi keadaan itu makin hari makin buruk. Sebab majoriti dua per tiga dikuasai oleh Barisan Nasional.

Peraturan sidang (standing orders) sering diubah dan terus diubah untuk menyukar wakil-wakil rakyat pembangkang berhujah. Misalnya pada Februari 1971, saya bertanya lebih seratus soalan bertulis kepada wakil-wakil kerajaan sepanjang sesi itu. Pada waktu itu, seseorang wakil rakyat boleh bertanya tiga soalan bertulis pada setiap hari sidang. Semua wakil rakyat DAP berbuat demikian sehinggakan menteri-menteri menjadi kelam-kabut! Mereka overloaded, tidak termampu menanganinya.

Apabila setiap kali sidang seperti itu, Barisan Nasional tidak dapat lagi menerima keadaan itu. Akhirnya mereka mengubah peraturan sidang; kali ini, tidak lebih lima soalan bertulis bagi setiap kali dewan bersidang dan tidak lebih daripada satu soalan lisan setiap hari dalam tempoh itu. Bilangan soalan yang terhad itu tidak mencukupi untuk memeriksa perjalanan kerajaan. Walaupun semakin disekat, wakil-wakil DAP tidak mensia-siakan peluang tersebut.

Peraturan sidang itu sengaja diubah lagi, dari semasa ke semasa, dan malah ‘dimandulkan’ untuk mengecilkan ruang debat yang sememangnya sudah sedia terbatas.

Jika dibandingkan tiga perdana menteri sebelum ini, bagaimana keadaan Parlimen hari ini?
Saya tidak dapat memberikan ulasan tentang Tuanku Abdul Rahman tetapi zaman Tun Razak dan Tun Hussein lebih bebas. Saya boleh memberikan usul-usul untuk dibahaskan. Dewan memberikan masa dan ruang untuk itu. Dalam zaman pentadbiran Dr Mahathir, saya tidak berpeluang berbuat begitu. Usul boleh dicadangkan di zaman Mahathir tetapi ia akan tinggal begitu sahaja, tidak akan dibahaskan, sampai habis sesuatu sudang.

Dalam zaman pentadbiran Razak dan Hussein, saya boleh mengemukakan cadangan rang undang-undang persendirian. Saya perlu mendapat keizinan dewan terlebih dahulu dengan menyampaikan alasan-alasan mengapa rang tersebut penting dibahaskan. Pada masa itu, rang undang-undang persendirian diberikan keutamaan yang tinggi. Dalam hal-ehwal mesyuarat dewan, rang ini mestilah selesai dibahaskan sebelum pembentangan serta perbahasan dasar-dasar kerajaan.

Jadi, wakil-wakil kerajaan dan Barisan Nasional perlu memberikan perhatian kepada isu-isu yang dibawa oleh wakil pembangkang. Pada waktu itu, saya dapat mengemukakan 2,000 usul.

Kemudiannya, kerana kami menggunakan sepenuhnya peluang itu untuk mendesak kerajaan, mereka rasa tertekan. Mereka mengubah lagi peraturan sidang. Kali ini, usul rang persendirian mestilah dikemukakan selepas kerajaan membentangkan dan membahaskan idea-ideanya. Wakil-wakil pembangkang tidak ada masa lagi mengemukakan rang persendirian. Malah, sudah menjadi amalan sekarang, hanya kerajaan yang mengemukakan dasar dan idea mereka. Selepas itu sidang dewan tamat. Wakil pembangkang tidak ada masa pun untuk mengemukakan apa-apa usul!

Inilah cara Parlimen diperalatkan oleh wakil-wakil Barisan Nasional kerana kuasa dua per tiga majoriti berada di tangan mereka. Mereka perketatkan semua ruang untuk bersuara.

Bagaimana wakil-wakil Umno dalam Parlimen dahulu, apakah mereka juga tunduk kepada Perdana Menteri seperti sekarang?
Umumnya, ada juga wakil Umno yang bertanggungjawab. Setiap kali sesi Parlimen, terdapat berbagai-bagai kelompok wakil rakyat – baik, buruk, sederhana dan juga ‘tukang lawak.’ Sukar saya mengingati wakil-wakil Umno yang baik dan buruk. Saya perlu melihat foto dan nama mereka, barulah saya dapat memberikan ulasan tentang prestasi mereka di Parlimen dahulu.

Apakah boleh kita simpulkan wakil-wakil Umno dahulu ‘lebih baik’ daripada sekarang?
(diam sejenak) Saya fikir tidak mudah membuat kesimpulan umum begitu.