KUALA LUMPUR, - Selepas dua bulan ditangguhkan, perbicaraan kes liwat bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja akan disambung esok.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Arifin Jaka kini dalam peringkat pembelaan dan Anwar dijangka meneruskan keterangannya.
Anwar adalah saksi pertama pembela.
Anwar, 52, dan Sukma, 38, dituduh secara berasingan meliwat Azizan Abu Bakar, 39, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar, di sini pada satu malam pukul 7.45 malam, antara Januari dan Mac, 1993.
Sukma, seorang ahli perniagaan, menghadapi satu lagi tuduhan bersubahat dengan Anwar untuk meliwat Azizan, bekas pemandu isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di tempat dan waktu yang sama.
Kes itu ditangguhkan pada 10 Nov lepas semasa peringkat keterangan Anwar selepas Arifin mengadu "sakit belakang" dan kemudian dinasihatkan oleh seorang doktor supaya berehat.
Mahkamah menetapkan 12 Nov untuk sebutan kes itu tetapi kes itu ditangguhkan selepas Arifin dinasihatkan berehat oleh doktor.
Pada 18 Dis, Arifin mengadakan pertemuan dengan semua pihak yang terlibat dalam kes itu di kamarnya dan menetapkan esok untuk sambungan perbicaraan kes itu.