Ketua Pergerakan Wanita Umno Perak, Ainon Khairiyah Mohd Abas, ketika dihubungi pula berkata pergerakan itu sedia melobi untuk Rafidah merebut kerusi itu.
"Kewibawaan dan rekod cemerlang Rafidah selama ini sudah cukup kuat untuk mendorong para perwakilan mengundinya untuk menduduki kerusi itu," katanya
Seorang anggota Exco Wanita UMNO hari ini merayu kepada Datuk Seri Rafidah Aziz agar melupakan untuk bertanding bagi jawatan ketua pergerakan itu, sebaliknya bertanding bagi jawatan naib presiden pada pemilihan parti yang akan datang.
Datuk Maznah Abdul Hamid berkata selepas menjadi Ketua Wanita Umno selama 12 tahun sehingga 1996 dan Menteri Kabinet untuk hampir 20 tahun, Rafidah sudah "melebihi tahap kelayakan" untuk bertanding bagi jawatan yang sama, dan sepatututnya menaiki hierarki parti berdasarkan kewibawaannya.
"Jika beliau mempunyai sebarang perancangan untuk mendapatkan semula jawatan ketua Wanita yang beliau tewas pada 1996, saya berpendapat ini merupakan langkah terkebelakang. Saya yakin semua anggota Wanita akan memberi sokongan penuh kepada beliau jika beliau bertanding bagi jawatan naib presiden Umno," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Maznah mengulas laporan media mengenai corak pertandingan yang mungkin berlaku bagi jawatan dalam Wanita Umno, dengan seruan supaya Rafidah bertanding bagi jawatan yang beliau tewas kepada penyandang Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan 1996 itu.
Beliau berkata dengan ketibaan alaf baru, sudah tiba masanya bagi seorang pemimpin Wanita Umno bertanding bagi satu daripada tiga jawatan naib presiden yang dipertaruhkan dalam pemilihan parti yang akan diadakan pada 11 Mei.
"Saya sama-sekali tidak bersetuju dengan pendapat bahawa Rafidah patut bertanding bagi jawatan dalam Wanita Umno sekali lagi. Rafidah amat disanjung hingga ke peringkat antarabangsa sebagai menteri Kabinet yang memperjuangkan matlamat Malaysia di luar negara dan beliau sudah melepasi tahap hanya sebagai Ketua Wanita Umno.
"Sudah tiba masanya bagi wanita naik setingkat lagi tangga politik dan dari segi status saya tidak nampak wanita yang lebih layak dan lebih kanan daripada Rafidah. Siapa tahu satu hari nanti beliau mungkin menjadi timbalan perdana menteri atau perdana menteri," kata Maznah.
Rafidah ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Maznah berkata peningkatan Rafidah dalam hierarki politik parti akan menjadi pendorong besar kepada wanita di negara ini yang sudah mendahului lelaki sama ada sebagai anggota Umno atau sebagai pengundi Malaysia.
Ditanya mengenai laporan bahawa Naib Ketua Wanita Umno Datuk Napsiah Omar mungkin mencabar Dr Siti Zaharah bagi jawatan itu, Maznah berkata pertandingan seperti itu adalah tidak mengapa dan tidak begitu menjejaskan berbanding dengan sekiranya Rafidah menyertai pertandingan itu.
"Jika ada pertandingan, biarlah ia antara Zaharah dan Napsiah dan pemimpin muda yang sedang meningkat naik. Ia tidak memberi faedah kepada kepentingan Wanita Umno dan wanita umumnya jika pertandingan menjadi terlalu sengit terutamanya jika Rafidah menjadi salah seorang calonnya," kata beliau.