LRT - KELANTAN SOKONG TERENGGANU

KOTA BAHARU, 30 Dis - Kerajaan PAS Kelantan bersependapat dengan kerajaan PAS Terengganu berhubung sokongan supaya kerajaan pusat meneruskan cadangan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kerajaan Kelantan menyokong pembinaan lebuh raya itu walaupun kerajaan pusat bercadang untuk mengenakan tol kepada pengguna apabila ia beroperasi.

"Tol itu kalau seboleh-bolehnya tak usah kena, tetapi kalau kerajaan persekutuan nak juga buat, itu terpaksa kita terima," katanya kepada pemberita selepas mengetuai majlis angkat sumpah anggota Dewan Undangan Negeri hari ini.

Menurutnya kerajaan negeri tidak akan menghalang langkah kerajaan pusat atau pelabur untuk mengutip tol, sebaliknya hanya menetapkan syarat supaya jalan-jalan kecil sedia ada yang menjadi jalan alternatif tidak ditutup kepada pengguna jalan raya apabila lebuh raya dibuka.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu sebelum ini berkata kementeriannya bercadang untuk mengkaji semula pelaksaaan projek LPT ke Terengganu kerana kerajaan PAS tidak menggalakkan kutipan tol.

Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang sebaliknya menafikan perkara itu dan mengalu-alukan pembinaan projek LPT hingga ke Kelantan yang dijangka mampu meningkatkan ekonomi kedua-dua negeri itu.

Nik Aziz ketika ditanya mengenai hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, berkata sesuai dengan amalan demokrasi hubungan baik kedua-dua pihak adalah perlu bagi menjaga kepentingan rakyat.

"Demokrasi ini bertepuk dua belah, sebab itu demokrasi syaratnya mesti ada pembangkang atau disebut dalam agama sebagai penasihat. Orang yang menjadi pembangkang menjadi kewajipan menjadi penasihat. Kalau benda itu betul kita ucap terima kasih, kalau tak betul kita boleh jawab," katanya.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS kesal kerana masih terdapat pemimpin kerajaan Barisan Nasional pusat yang mempunyai sangkaan buruk terhadap Kelantan yang dikuasai Pas sejak 1990.

Menurutnya ada pemimpin peringkat pusat menuduh kerajaan Kelantan tidak menggalakkan pelaburan ekonomi.

"Sebenarnya kita di Kelantan ini, kita telahpun sampai ke peringkat memilih pelabur tertentu secara senyap-senyap... sebenarnya banyak sangat pelabur," katanya.

Menurutnya kebanyakan pelabur berminat untuk mengembangkan pelaburan ke Kelantan setelah banyak bidang pelaburan di negeri-negeri di pantai barat penuh hingga menimbulkan terlalu banyak persaingan.

Mengenai cadangan DAP supaya PAS melantik Anggota Dewan Undangan Negeri Yang Dilantik daripada kalangan kaum minoriti, Nik Aziz berkata ia tidak boleh dibuat kerana bercanggah dengan pelembagaan negeri.

"Ketika saya mula-mula pegang kerajaan dahulu memang nak lantik dah, tetapi ia bercanggah dengan pelembagaan. Saya ingat nak tiru sistem Sabah. Sabah boleh lantik maka saya pun nak lantiklah, tapi tak boleh," katanya.

Mengenai matlamat kerajaan negeri bagi memasuki alaf baru, Nik Aziz berkata kerajaan PAS akan meneruskan usaha "Membangun Bersama Islam" yang menjadi slogannya dengan memberi penekanan untuk mempertingkatkan kerohanian umat Islam.