Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

SAMBUTAN LUARBIASA DI STADIUM KUALA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 22 Jan - Saya ingin melaporkan suasana semasa ceramah perdana di stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu pada hari semalam 21-1-2000 kerana kemungkinan besar media arus perdana tidak akan menyiarkan cerita sebenarnya.

Saya sampai di stadium pada pukul 8.00 malam. Tempat duduk stadium dan padang bola sudah penuh di setiap sudut menjelang pukul 9.00 malam. Rasanya hampir 100,000 orang berada di dalam stadium bola sepak ini.

Menteri besar Terengganu Tuan Guru Hj. Abd. Hadi Awang telah mengimamkan solat Isya' dan hajat pada pukul 8.30 malam. Inilah kali pertama solat hajat beramai-ramai dilakukan di Terengganu sejak Pas berkuasa. Tidak pernah sekali pun sebelum ini kerajaan negeri Terengganu di bawah UMNO melakukan perkara seumpama ini walau pun di bawah 'ulama' Wan Mokhtar.

Ceramah perdana dipengerusikan oleh YB Dato' Dr. Hassan Ali yang mendapat sambutan takbir oleh para hadirin. Beliau menyatakan bahawa ceramah perdana malam ini juga disiarkan secara langsung di dalam internet.

Ceramah pertama dimulakan oleh YB Ustaz Dato' Ismail Kamus. Beliau antaranya mengingatkan betapa pentingnya mengekalkan kemenangan yang diperolehi dan betapa sukarnya mempertahankan kemenangan yang telah diperolehi. Pada siang harinya, Ismail Kamus juga telah memberi khutbah Jumaat dan mengimamkan solat Jumaat di masjid KUSZA( kolej agama Sultan Zainal Abidin ) di Gong Badak, Terengganu. Beliau juga telah memberi sedikit ceramah agama selepas selesai solat Jumaat.

Ceramah kedua disusuli oleh Dr. Chanda Muzaffar yang mewakili YB DSWAI yang tidak dapat hadir kerana berada di Mekah untuk melakukan umrah. Beliau terlebih dahulu menyampaikan salam DSAI dan DSWAI. Walaubagaimanapun, beliau tidak memberitahu tentang berita terbaru mengenai DSAI. Antara ucapan beliau ialah cadangan kepada kerajaan Pas Terengganu supaya mengujudkan suruhanjaya bebas untuk menyiasat rasuah dan penyelewengan oleh pemimpin UMNO Terengganu dahulu.

Ceramah ketiga disusuli oleh presiden PRM Dr. Syed Hussin yang menyatakan bahawa PRM akan terus berusaha untuk berjuang bersama Barisan Alternatif walau pun tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya baru-baru ini.

Ceramah keempat dilakukan oleh presiden DAP Encik Lim Kit Siang. Ucapan beliau begitu bersemangat sekali dan disambut baik oleh para hadirin. Beliau mengutuk Dr. Mahathir yang bercuti di luar negara tetapi menggalakkan rakyat Malaysia bercuti di dalam negeri dan juga komen Dr. Mahathir yang mengatakan rakyat Malaysia tidak bersyukur kepada kerajaan. Beliau juga mendesak Dr. Mahathir supaya menarik balik kesemua tuduhan terhadap DSAI sekiranya Dr. Mahathir mahu memulihkan kredibiliti beliau.

Ceramah kelima dilakukan oleh Tuan Guru Hj. Abdul Hadi yang merupakan ucapan pertama beliau kepada rakyat negeri Terengganu sejak menjadi Menteri Besar. Antaranya beliau menyatakan bahawa beliau tahu bahawa media arus perdana sememangnya merancang untuk memburukkan kerajaan Pas Terengganu setiap hari tetapi beliau yakin rakyat Terengganu boleh menilai sendiri kebenaran berita yang disiarkan. Beliau mengingatkan arus perdana supaya jangan menguji kesabaran kerajaan Pas Terengganu dengan berterusan menyiarkan keburukan kerajaan Pas Terengganu kerana beliau ada 'berlori-lori' fail rasuah dan penyelewengan pemimpin UMNO dahulu yang boleh didedahkan.

Ceramah keenam dilakukan oleh YB Ketua Pembangkang di Parlimen Dato' Fadhil Nor. Antaranya beliau menceritakan keadaan sebenar kenapa ahli-ahli parlimen pembangkang keluar dewan tempoh hari kerana menurut perlembagaan Malaysia, kerajaan sementara Dr. Mahathir tidak ada kuasa menasihatkan Agong untuk memanggil sidang dewan.

Ceramah ketujuh dilakukan oleh Menteri Besar Kelantan Dato' Nik Abdul Aziz. Saya berasa begitu tenang mendengar suara lembut dari Nik Aziz semasa beliau berucap. Antaranya beliau memberikan hujah bernas yang membuktikan kerajaan Paslah yang mempraktikkan Islam sebenar berbanding dengan UMNO. Ceramah perdana tamat pada pukul 12.00 malam dengan takbir Allahuakbar 3 kali.

Melihatkan sambutan rakyat Terengganu pada ceramah perdana malam ini, saya rasa UMNO bolehlah melupakan hasrat untuk berkuasa semula di Terengganu.

REFORMIST BATU BUROK
KUALA TERENGGANU




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com