Lebih kurang tiga empat hari lalu, saya menemankan isteri saya pergi bershopping di Petaling Street. Tengah-tengah berjalan di lorong jajahan penjaja Cina itu, tiba-tiba saya dipanggil oleh seorang peniaga video dan CD. "Kawan, ini best punya. Manyak syok punya ooo..," beria-ia benar Cina gemuk itu menggoda saya.
Saya lalu melihat CD di tangannya. Gambar telanjang. “Tak maulah!” Dalam hati saya menyumpah-nyumpah. “Celaka setan ni, depan anak bini orang ke, apa ke, dia tak kira”. Dah menjadi tabiat rasmi saya, hampir kesemua perkara yang berlaku, yang pasti saya salahkan ialah Umno/BN yang sesat lagi menyesatkan itu. (Antara lain, tafsir Ar-Rahman terbitan JPM menyebutkan apa sahaja yang menyesatkan adalah taghut).
“Celaka sungguh Umno, CD lucah dibiar bersepah sampai di tempat terbuka begini pun boleh dijual, tak nak pula dia kejar puak-puak jual CD lucah tu. Yang jual Harakah dikejarnya,” saya terus menggerutu dalam hati.
Peristiwa itu berlaku ketika Pak Lah mengganas mengejar penjual-penjual Harakah di sana-sini. ‘Kununnya’ bukan kerana politik tetapi kerana undang-undang. Yang Pak Lah tak sedar ialah kebaculan kerajaannya sendiri kerana pondan tersangat pondan untuk memberikan permit kepada Harakah supaya ia boleh dijual kepada orang ramai. Yang Pak Lah tak sedar ialah ia membogelkan kejahatan dan penindasan kerajaannya menidakkan Harakah permit yang membolehkan ia dijual kepada umum, walaupun dah diminta berkali-kali. Awat rajin sangat hang melondeh-londeh sana-sini, Pak Lah?!
Bagi saya secara peribadi, saya tak bimbang kalau mereka gian sangat nak menyekat Harakah dijual secara terbuka. Dalam tahun 1986 dahulu, ketika Harakah mula-mula diterbitkan, akhbar itu diedarkan oleh ahli-ahli PAS sendiri kepada sesiapa sahaja yang berminat nak membelinya.
Secara jujur, Harakah lahir dari serpihan kekecewaan Nakhaie setelah hasil mengelamunnya, Tahalluuf As-Siyasi, ditolak oleh para perwakilan dalam Muktamar PAS 1986 di Masjid Rusila, Marang, Terengganu. Penolakan konsep itu didalangi oleh Abdul Malik Hussein, yang kemudiannya mengkhianati kepercayaan ahli-ahli PAS dan mengekor Nakhaie bergelandangan dan bergentayangan di kaki lima Umno.
Setelah konsep itu disiat-siat oleh Muktamar yang menyaksikan Nakhaie dan Cik Gu Pa bertingkah kata di atas pentas barisan pemimpin itu, bekas guru saya itu lalu meletak jawatan sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat (kemudian dipujuk supaya pegang balik jawatan tu). Dalam kemeranaan politiknya itu, Nakhaie lalu mengajak beberapa kawan seperti Rahim Kassim dan Pak Husein Chow Kit (Ibnu Muslim) untuk berbincang bagi meminta permit menerbitkan Harakah. Pak Hussein lalu memanggil Yusof Jalil (bekas wartawan Utusan yang kini berkhidmat dengan Bahagian Penerangan Kerajaan Kelantan) dan Cik Gu Ishak Surin (kawan Pak Husin dalam Front Socialist yang pernah menjadi Setiausaha Agung parti Pekemas pimpinan Dr Tan Chee Koon. Cik Gu Ishak kini Setiausaha Lujnah Buruh PAS).
Sebelum itu, Harakah memang diterbitkan tanpa permit. Tetapi, kerana masalah duit yang tak pernah cukup, nyawanya tak panjang. Kali terakhir, ia diterbitkan sempena Muktamar PAS 1984 di Alor Setar, yang mana pada waktu itu Harakah turut dijaja oleh Mahfuz Omar yang pada waktu itu baru menunjukkan bakatnya sebagai pemidato yang memikat dalam Muktamar Pemuda tahun itu (masa tu berpidato berkain pelikat ‘sekerat ketin’ dengan ‘kepiah lebai’).
Setelah dikumpulkan simpatisan-simpatisannya yang kemudian ternyata menjadi orang kuat Nakhaie yang pening dan memeningkan, permit Harakah diminta. Sementara menunggu permit lulus, Yusof Jalil dan Rahim Kassim menerajui penerbitan majalah-majalah tidak berkala yang tidak memerlukan permit.
Pada waktu itulah direkrutkan pengedar-pengedar part-time yang menjadi nadi pengedaran penerbitan PAS. Mereka jugalah yang mengedarkan Harakah selepas akhbar itu dibagi permit oleh KDN untuk diedarkan kepada ahli-ahli PAS sahaja. Rekrut-rekrut pengedaran itu termasuklah Zain Hashim yang mengedar di RTM, Zainal Agus di Petronas, Yusof Ishak di Perangkaan dan Ali Maidin (calon PAS di Gemenceh yang lawan Waad yang berhenti Exco baru-baru ni) di Jabatan Pembangunan Koperasi (sekadar menyebut satu dua nama yang tidak boleh diapa-apakan lagi kerana mereka sama ada sudah berhenti atau dah kaya).
Rekrut-rekrut pengdaran itu tidak menjual Harakah kerana duit. Ali Maidin umpamanya adalah pegawai divisyen A yang gaji empat angka. Kesemua mereka bergaji tetap dan tak harap langsung pun duit Harakah untuk beli beras dan lauk. Sebab itulah semangat mereka begitu tinggi dan mereka betul-betul ‘gila-gila’ menjual Harakah di pejabat mereka.
Saya yakin, jika Pak Lah nak menguji lagi semangat orang-orang PAS mengedarkan akhbar parti mereka, dia tetap tak boleh menang. Akan terlondeh lagi la hang , Pak Lah oi!
- Penarik Beca
Dipetik daripada PEMANTAU