PERUTUSAN TERAKHIR MAHAZALIM TWO

Assalammualaikum W.W. dan Salam Sejahtera,

Hari ini merupakan hari terakhir 'kunun'nya kita berada di Alaf Kedua walaupun ramai yang mempertikaikan konsep sebenar Alaf kedua, adakah ianya berakhir pada 31 Disember 1999 atau 31 Disember 2000 untuk mencukupkan perkiraan 1000 tahun.

Namun, bagi saya, ini adalah merupakan hari terakhir saya mengendalikan LAMAN REFROMASI yang cukup bersejarah pada diri saya serta memberikan makna yang cukup mendalam kepada perjuangan REFORMASI dalam jiwa saya. Setelah beberapa bulan saya mengambil-alih laman ini dari Saudara Mahazalim (Pertama), saya merasakan sudah sampai masanya saya berundur kerana saya mendapat tawaran pengajian peringkat Post Graduate di salah sebuah universiti di Timur Tengah.

Sepanjang saya mengendalikan laman ini, pelbagai pengalaman yang saya telah lalui dan kecapi samada perit ataupun sebaliknya namun sokongan padu dari pengunjung sekalian menjadikan ianya sebagai satu momentum penggegar semangat saya untuk terus berjuang. Mungkin ramai yang bakal mempersoalkan keputusan yang saya buat ini termasuklah ibu dan bapa saya sendiri namun bagi saya ianya adalah satu proses yang biasa dalam kehidupan dan dalam erti kata yang lain, ianya adalah sebahagian dari proses pengislahan yang saya laung-laungkan selama ini. Saya pergi buat sementara untuk sesuatu yang lebih gemilang.

'Perjuangan tetap di teruskan'....Laman ini akan terus dikemaskinikan oleh seorang sahabat saya. Insya Allah, saya berjanji dan mempertaruhkan kredibiliti saya bahawa beliau adalah seorang Reformis tulen dan akan meneruskan kesinambungan konsep ini.

Beliau boleh dihubungi di email yang sama iaitu mahazalimtwo@yahoo.com

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada umat Islam dan memohon jutaan ampun dan maaf atas segala kesalahan yang pernah saya lakukan samada secara disedari ataupun tidak.

Insya Allah, jika ada kelapangan, saya akan menyumbangkan sepatah-dua kata buat pengubat rindu...Sampaikan salam saya kepada Bapa Reformasi, Saudara Anwar Ibrahim, keluarganya dan seterusnya kepada para pejuang sekalian. Kepada sahabat-sahabat di Laman RN, Mahafiraun, Doimoi dan seangkatan dengannya, Teruskan perjuangan anda walaupun kita saling tidak kenal-mengenali antara satu sama lain di dunia nyata..Tidak dilupakan juga para penyumbang artikel yang gigih seperti Muramozi, Roslan SMS, Fathi Aris, Sabri Zain, Ibrahim Baba, JPKitingan, OA, Alhaj, Labulabi, Osama dan ramai lagi (maaf tidak dapat menyebut semua kerana keterbatasan yang ada), Terima kasih diucapkan moga Allah membalas usaha anda semua dan teruskan sumbangan anda. Semoga Barisan Alternatif akan mencapai kemenangan yang gilang-gemilang. Wallahua'lam bissawab.

Wassalam

-Mahazalimtwo-

Eid Mubarak Wa Kullu 'Am Wa Antum Bikhair

"Aku hanya bertujuan untuk melakukan Islah (pembaikan) sedaya-upayaku..(Hud:88)