|
KOTA BAHARU, 22 Dis - Kerajaan
Kelantan pimpinan PAS menafikan desas-desus yang ia akan merombak
Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) serta mengambil alih Suruhanjaya
Perkhidmatan Negeri (SPN) dalam usaha memudahkan pelaksanaan
dasar-dasar parti itu.
Timbalan Menteri Besar
Kelantan Abdul Halim Abdul Rahman berkata, dua laporan yang
disiarkan sebuah akhbar harian (Utusan Malaysia) hari ini berhubung
perkara itu adalah tidak benar.
"Saya ingin menjelaskan
sehingga kini Kerajaan Negeri tidak pernah berbincang mengenai
kedua-dua perkara itu".
"Oleh itu apa yang dilaporkan oleh
akhbar terbabit adalah tidak berasas sama sekali dan bertujuan
melaga-lagakan dan mengeruhkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan
istana," katanya.
Laporan muka depan akhbar itu yang bertajuk
"Kelantan Rombak MAIK Hakis Pengaruh Istana", menyatakan kerajaan
PAS Kelantan akan merombak MAIK bagi menghakis pengaruh istana dan
membolehkan majlis itu diwakili oleh anggota yang sehaluan dengan
PAS.
Dalam satu lagi laporan akhbar itu (muka surat 11),
Kerajaan Kelantan dilaporkan akan mengambil alih SPN yang kini
sebuah badan bebas supaya membolehkan pentadbiran kerajaan sekarang
lebih mantap.
Haji Abd. Halim sehubungan itu menasihati akhbar
berkenaan supaya tidak membuat berita yang berunsur fitnah dan
provokatif terutama di bulan Ramadhan ini.
|