Sambutan Alaf Baru - Kenyataan DPP Selangor

Pesta Maksiat Menyambut Alaf Baru: Maruah Ummah Tercabar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) membantah keras tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berterusan mencabar maruah ummah dengan membenarkan pesta-pesta maksiat dianjurkan secara besar-besaran di beberapa tempat di negeri ini, kononnya bagi menyambut alaf baru. Lebih mendukacitakan, pesta tersebut akan diadakan pada ketika umat Islam bersolat tarawikh dan berqiamullail di sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan yang penuh berkat.

Salah satu tapak pesta maksiat iaitu di Terminal Satu, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah juga adalah berhampiran dengan sebuah masjid yang kebetulan pada malam yang sama menganjurkan program sambutan Badr al-Qubra dan qiamullail, di dalam usaha mendapatkan keberkatan Laitul-Qadr. Apakah umat Islam wajar diperhinakan begitu rupa semata-mata kerana majoriti pengundinya tidak mengundi BN dalam pilihanraya yang lepas?

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) juga mengecam kerajaan Negeri Selangor kerana bersubahat di dalam kemungkaran ini. Soalnya, apakah kerajaan negeri tidak mempunyai kemampuan untuk menarik minat pelancung bagi mengisi program "Tahun Melawat Selangor" selain dari penganjuran budaya hedonisma jijik seperti ini? Lebih mendukacitakan kita ialah kerana artis-artis luar dibawa masuk bagi membiakkan budaya berseronok yang liar dan tidak langsung bersifat kondusif dengan nilai agama dan budaya rakyat negeri ini.

Kami ingin mengingatkan pemimpin kerajaan negeri Selangor bahawa pembiakan budaya hedonisma ini adalah bersifat counter productive di dalam usaha membina masyarakat madani yang menjadi impian seluruh rakyat negeri ini. Malah kami ingin mencadangkan agar pihak kerajaan negeri melaksanakan program-program yang lebih inovatif bagi mewujudkan suasana ihya’ Ramadhan dengan lebih bersungguh-sungguh, dan bukannya dengan membawa masuk budaya luar dan liar yang buruk dan bejat.

Kami bimbang ini merupakan satu bentuk penjajahan kuasa asing yang di bawa oleh pihak pemerintah untuk merosakkan akhlak dan pemikiran rakyat negeri ini. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) dengan ini menyeru seluruh rakyat agar bangun menentang kebiadapan ini. Rakyat perlu bersatu untuk memastikan maruah dan kehormatan ummah dipelihara, penghayatan terhadap agama dapat terus diperkukuhkan, dan kegilaan budaya hedonisma ini dihentikan.

Semoga dengan tekad dan kesungguhan kita bersama menentang kemungkaran ini, Allah SWT akan melimpahkan keberkatan ke atas penduduk negeri ini. Sekian,


Ramli b. Sidom

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor